KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Huawei Malaysia AI Talent Programme yang dilancarkan sempena Huawei Cloud AI Ecosystem Summit APAC 2025 dengan kerjasama universiti tempatan, institusi teknologi dan industri media.
Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) UPM, Dato’ Prof. Dr. Shamala K. Subramaniam berkata, program ini memperkenalkan kurikulum bertauliah dalam pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran tinggi, sekali gus mempercepatkan penerimaan dan penggunaan teknologi AI secara meluas di Malaysia.
“Melalui penglibatan ini, pelajar dan penyelidik UPM akan berpeluang mengikuti latihan pakar, memperoleh pensijilan industri, serta mengakses teknologi terkini Huawei Cloud. Inisiatif ini turut membuka peluang kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan pihak industri bagi memperkukuh inovasi serta penghasilan penyelesaian berasaskan AI.
“Penyertaan UPM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti untuk memacu pembangunan teknologi AI dan mengukuhkan kerjasama strategik di peringkat serantau, seiring aspirasi menjadi peneraju inovasi digital serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.
Majlis pelancaran rasmi Huawei Malaysia AI Talent Programme oleh Huawei Cloud turut disaksikan oleh Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo.
Tarikh Input: 19/08/2025 | Kemaskini: 19/08/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA