SERDANG, 18 Ogos– Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Chengde Medical University (CDMU), China, dalam usaha memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin berkata, kerjasama strategik ini membuka peluang lebih luas dalam bidang kejuruteraan bioperubatan khususnya dalam pembangunan bakat yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Melalui MoU ini, UPM dan CDMU komited melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki asas teori yang kukuh, tetapi juga berkeupayaan tinggi dalam aspek inovasi serta mempunyai pandangan global.
“Kerjasama ini mencerminkan iltizam kedua-dua pihak untuk memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan saintifik dan inovasi, selain memperluas jaringan kerjasama antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif ini juga diyakini dapat memperkayakan pengalaman pelajar dan pensyarah melalui pertukaran akademik rentas negara serta memupuk kefahaman budaya yang lebih mendalam antara Malaysia dan China.
“Hubungan strategik ini bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan sistem pendidikan dan kesihatan di kedua-dua negara selaras dengan aspirasi nasional serta piawaian global,” jelasnya.
Tarikh Input: 18/08/2025 | Kemaskini: 18/08/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA