Malaysia Perlu Contohi Negara Jepun, Sedia Strategi Tangani Krisis Sisa Makanan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Malaysia perlu contohi negara Jepun, sedia strategi tangani krisis sisa makanan

Malaysia perlu contohi negara Jepun, sedia strategi tangani krisis sisa makanan

Article Summary
Pada tahun 2023, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melaporkan bahawa Malaysia merupakan negara dengan jumlah sisa makanan yang paling teruk di dunia, di mana secara puratanya setiap rakyat Malaysia didapati membuang 259.82 kg sisa makanan setiap tahun.


 

Pada tahun 2023, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melaporkan bahawa Malaysia merupakan negara dengan jumlah sisa makanan yang paling teruk di dunia, di mana secara puratanya setiap rakyat Malaysia didapati membuang 259.82 kg sisa makanan setiap tahun.

 

Isu pengurusan sisa makanan di Malaysia bukan perkara yang baharu dan dilihat sukar direalisasikan kerana tahap kesedaran masyarakat terhadap perkara ini tidak diambil serius dan beranggapan ianya tidak mengancam kehidupan masa akan datang.

 

Hakikatnya negara kini sedang bergelut dengan keperluan mendesak untuk menangani masalah sisa makanannya.

 

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Rizalman Datuk Mokhtar menyatakan pada tahun 2022 dianggarkan lebih 38,000 tan sisa domestik dan 17,000 tan sisa makanan dihasilkan rakyat Malaysia setiap hari dan akan meningkat sehingga 20 peratus pada musim perayaan.

 

Negara Israel yang dipimpin regim Zionis yang tidak diiktiraf sebagai negara rasmi oleh Malaysia turut merupakan negara kedua terburuk dalam aspek ini dan dianggarkan setiap rakyatnya membuang 178.43kg sisa makanan setiap tahun.

 

Ini merupakan satu perkara yang tidak boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia dan harus ditangani segera.

 

Di seluruh dunia, lebih dari 1.3 bilion tan makanan dibazirkan setiap tahun, menyumbang sebanyak 8% gas rumah hijau yang dihasilkan oleh aktiviti manusia. Lebih dari itu, pembaziran ini turut menyumbang kepada pembaziran tenaga dan air yang digunakan dalam proses penghasilan makanan.

 

Oleh itu, menangani krisis sisa makanan bukan sahaja merupakan isu kemanusiaan, tetapi juga kritikal untuk mengurangkan impak perubahan iklim.

 

Dr. Keeren di hadapan Tokyo NODAI

 

Memahami kepentingan untuk menangani isu ini, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata, apa yang beliau lihat Jepun sangat menitikberatkan kerjasama di semua peringkat yang bermula dari individu hingga syarikat swasta dan kerajaan.

 

Ujar beliau, komitmen teguh Jepun terhadap pengurangan sisa makanan turut dicerminkan melalui perundangan negaranya iaitu Undang-undang Kitar Semula Makanan (2000) dan Undang-undang Menggalakkan Pengurangan Kehilangan dan Pembaziran Makanan (2019).

 

Dr. Keeren yang telah melawat Universiti Pertanian Tokyo (Tokyo NODAI) untuk mengkaji inovasi pengurusan sisa makanan di Jepun optimis dengan beberapa kaedah inovatif yang dilaksanakan di Jepun dalam menangani masalah pengurusan sisa makanan yang dapat direalisasikan di negara ini.

 

Pusat kajian pertanian Tokyo NODAI

 

“Inisiatif ini tidak hanya merangsang rakyatnya untuk mengambil tindakan yang mampan ianya juga mendorong semua lapisan masyarakat di Jepun untuk aktif terlibat dalam usaha mengurangkan sisa makanan,” katanya.

 

Tambah beliau, negara matahari terbit itu hanya menghasilkan sisa makanan sebanyak 45kg per kapita setahun telah melaksanakan langkah-langkah strategik yang menyeluruh untuk menangani isu tersebut.

 

“Antaranya Jepun telah membangunkan Aplikasi Tabete yang menghubungkan pengguna dengan restoran dan kedai yang menawarkan diskaun untuk makanan berlebihan yang akan dibuang kerana perniagaan ini hampir waktu tamat operasi perniagaan. Pelanggan mendapat manfaat dengan penjimatan kos makanan berkenaan,” katanya.

 

Dr. Keeren berkata, Jabatan Kelestarian Seven & I Holdings Co. turut memperkenalkan pendekatan yang kreatif dalam menguruskan sisa makanan di rangkaian kedai serbaneka terkenal 7/11 dan Restoran Denny's.

 

“Sebagai contoh, Denny's tidak membuang hampas kopi sebaliknya sisa tersebut diproses menjadi makanan lembu. Ladang lembu ini menghasilkan susu yang digunakan untuk menyediakan sos putih bagi hidangan hamburger terkenal Denny's,” katanya

 

Menurut beliau lagi, sisa makanan yang dihasilkan oleh rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven diangkut ke syarikat kompos swasta yang kemudiannya yang kemudian dijual kepada pekebun-pekebun kecil.

“Hasil tanaman dari pekebun ini kemudiannya dijual semula kepada 7-Eleven dan Denny's mencipta satu model pengurusan sisa makanan yang berkesan dan mampan,” katanya.

 

Selain itu, penyelidikan di Tokyo NODAI turut menerima dana dari kerajaan persekutuan Jepun untuk menjalankan penyelidikan ke arah penggunaan sisa makanan dalam bidang pertanian.

 

Salah satu kajian yang dijalankan ialah menggunakan sisa kopi sebagai baja untuk tanaman strawberi yang dapat meningkatkan kemanisan buah strawberi serta mengurangkan risiko serangan serangga perosak dan penyakit.

 

Penyelidikan strawberi yang dijalankan
oleh Dr. Mami Irie Tokyo NODAI

 

Dr. Keeren turut menyatakan Aplikasi Loop yang telah dibangunkan oleh Syarikat Recotech, Jepun berfungsi sebagai pengesan sisa yang membantu organisasi untuk memahami statistik serta trend pembuangan sampah.

 

“Ini secara langsung akan membantu organisasi untuk menguruskan sisa dengan lebih cekap dan mengurangkan pembaziran sumber,” katanya.

 

Pusat Ekologi Makanan di Wilayah Kanagawa

 

Sementara itu, Pusat Ekologi Makanan di wilayah Kanagawa memproses sisa makanan dari industri pengeluaran makanan untuk menjadi sumber pemakanan untuk khinzir dan makanan yang tidak sesuai untuk khinzir seperti makanan pedas telah diubah menjadi biogas untuk penghasilan tenaga lestari.

 

Pengasas pusat itu, Koichi Takahashi pada awalnya telah menjalankan penyelidikan yang dibiayai oleh kerajaan Jepun untuk menemui cara untuk menghasilkan makanan khinzir dari sisa makanan. Fasiliti ini kemudiannya dibangunkan oleh Odakyu, sebuah syarikat kereta api di Tokyo selepas melihat kejayaan  kajian tersebut.

 

Dari kiri Mr. Koichi Takahashi Presiden Pusat Ekologi Makanan, Dr Keeren dan Dr Mami Irie

 

Dengan inspirasi kejayaan Jepun dalam pengurusan sisa makanan, Dr. Keeren berharap strategi-strategi pengurusan sisa makanan Jepun di Malaysia dapat direalisasikan serta memerlukan kerjasama bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi berkaitan perkara berkenaan.

 

Dalam pada itu, sebagai permulaan dalam pertingkatkan kerjasama bersama UPMKB,  Tokyo NODAI bersetuju menjalankan penyelidikan dalam menangani krisis sisa makanan disini dengan menghantar seorang pelajar sangkutan pasca-sarjana.

Date of Input: 14/02/2024 | Updated: 14/02/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWLAx~