Article Summary
Golongan muda tidak seharusnya hanya mula memikirkan simpanan persaraan selepas memperoleh pekerjaan tetap, sebaliknya perlu didedahkan kepada kepentingan simpanan jangka panjang sejak masih belajar

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Pendaftaran automatik sebagai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia 18 tahun berpotensi membina kesedaran persaraan lebih awal dalam kalangan golongan muda, namun keberkesanannya bergantung pada kemampuan dan konsistensi mereka membuat caruman.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, berkata langkah itu merupakan permulaan yang baik untuk menjadikan perancangan persaraan sebahagian daripada kehidupan kewangan seseorang sejak awal usia dewasa.
“Golongan muda tidak seharusnya hanya mula memikirkan simpanan persaraan selepas memperoleh pekerjaan tetap, sebaliknya perlu didedahkan kepada kepentingan simpanan jangka panjang sejak masih belajar.
“Namun, kita perlu membezakan tiga perkara, iaitu mempunyai akaun, memasukkan wang ke dalam akaun dan mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara.
“Pendaftaran automatik membantu perkara pertama, manakala dua perkara lagi memerlukan caruman dan sokongan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata, kelebihan memulakan simpanan lebih awal ialah wang mempunyai tempoh yang lebih panjang untuk berkembang melalui dividen yang diterima dan dikekalkan dalam akaun.
Sebagai contoh, mahasiswa yang memperoleh pendapatan daripada pekerjaan sambilan boleh mempertimbangkan caruman kecil, seperti RM30 atau RM50 sebulan, mengikut kemampuan masing-masing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan jumlah berkenaan bukan jaminan simpanan mencukupi apabila bersara, sebaliknya menjadi asas yang boleh ditingkatkan apabila pendapatan bertambah.
Kos sara hidup cabaran utama golongan muda
Mengulas cabaran membina simpanan persaraan, beliau berkata, kekangan kewangan merupakan antara halangan utama, khususnya bagi graduan yang baru memasuki alam pekerjaan dan perlu menanggung pelbagai komitmen bulanan.
“Pendapatan permulaan kerjaya lazimnya perlu menampung perbelanjaan seperti sewa rumah, makanan, pengangkutan, bayaran pinjaman pendidikan serta bantuan kepada keluarga.
“Keadaan itu menyebabkan sebahagian golongan muda mempunyai ruang kewangan yang terhad untuk membina simpanan, meskipun mereka memahami kepentingannya.
“Jadi, kita perlu berhati-hati sebelum melabel mereka sebagai tidak pandai mengurus wang. Ada masalah yang berpunca daripada keputusan perbelanjaan, dan ada juga yang berpunca daripada pendapatan yang tidak sepadan dengan keperluan hidup,” katanya.
Jelasnya pekerja ekonomi gig dan individu yang bekerja sendiri berdepan cabaran berbeza kerana pendapatan mereka tidak semestinya tetap setiap bulan.
Dalam keadaan sedemikian, caruman persaraan boleh terhenti apabila pendapatan merosot atau berlaku kecemasan yang memerlukan perbelanjaan tambahan.
Justeru, beliau berpandangan usaha memperkukuh simpanan persaraan perlu disertai pengurusan hutang yang baik, pembinaan dana kecemasan, peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan yang lebih stabil.
Pendidikan kewangan perlu bermula di bangku sekolah
Dalam pada itu, katanya pendidikan kewangan perlu diterapkan secara berterusan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya golongan muda mampu membuat keputusan kewangan berdasarkan keperluan sebenar.
“Pendedahan itu tidak seharusnya terhad kepada teori atau pengetahuan tentang produk kewangan, sebaliknya perlu melibatkan latihan praktikal seperti menyediakan bajet, memahami slip gaji, mengira komitmen hutang dan membina dana kecemasan.
“Pelajar perlu didedahkan kepada simulasi pengurusan gaji pertama, termasuk cara membahagikan pendapatan untuk sewa, makanan, pengangkutan, pinjaman pendidikan, bantuan keluarga dan simpanan.
“Pendekatan itu juga boleh membantu mereka memahami kesan perbelanjaan tidak dirancang serta risiko bergantung pada kemudahan kredit apabila berdepan kecemasan,’’ ujarnya.
Insentif bersasar boleh galakkan caruman berterusan
Bagi memastikan pendaftaran automatik KWSP memberi kesan jangka panjang, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan sokongan tambahan yang bersasar kepada golongan muda berpendapatan rendah, termasuk bantuan permulaan atau padanan caruman bagi menggalakkan tabiat menyimpan.
Katanya, pendekatan itu perlu mengambil kira keadaan golongan yang paling sukar menyimpan supaya bantuan tidak hanya memberi manfaat kepada individu yang sememangnya mempunyai kemampuan kewangan lebih baik.
Bagi pekerja gig pula, kerjasama dengan platform berkaitan boleh diperkukuh untuk memudahkan pengasingan sebahagian pendapatan bagi tujuan persaraan, dengan mengambil kira kemampuan dan turun naik pendapatan mereka.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan dasar berkenaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah akaun yang dibuka semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira bilangan ahli yang mula mencarum, kesinambungan caruman dan perkembangan baki simpanan mengikut umur serta pendapatan.
“Jika caruman mereka terhenti, kita perlu memahami puncanya, sama ada pendapatan tidak mencukupi, kesukaran membuat caruman atau kurang memahami kepentingannya. Barulah bantuan dapat diberikan dengan lebih tepat,” katanya.
Menurut beliau, pendaftaran automatik boleh menyediakan laluan awal untuk golongan muda membina simpanan persaraan, termasuk mereka yang masih belajar atau bekerja sendiri.
Bagaimanapun, matlamat itu memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pendidikan kewangan, kemudahan mencarum, sokongan bersasar dan usaha meningkatkan kestabilan pendapatan.
Beliau berkata, golongan muda juga perlu memahami bahawa simpanan persaraan bukan sekadar tentang mengumpulkan wang, tetapi memastikan mereka mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan selepas tamat tempoh bekerja.
Date of Input: 16/10/2026 | Updated: 16/10/2026 | syamilakamarul

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA