Article Summary
Langkah penangguhan dan pengurangan ansuran bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan menerusi Belanjawan MADANI 2027 berpotensi membantu graduan muda mengurus kos sara hidup serta membina kedudukan kewangan yang lebih stabil ketika memulakan kerjaya.

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 20 Okt – Langkah penangguhan dan pengurangan ansuran bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan menerusi Belanjawan MADANI 2027 berpotensi membantu graduan muda mengurus kos sara hidup serta membina kedudukan kewangan yang lebih stabil ketika memulakan kerjaya.
Bagaimanapun, manfaat langkah berkenaan bergantung pada cara graduan mengurus lebihan wang yang tersedia, khususnya bagi memenuhi keperluan asas, membina simpanan kecemasan dan membuat persediaan untuk meneruskan bayaran balik selepas tempoh bantuan berakhir.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, yang juga pakar perancangan kewangan peribadi, berkata penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan dapat memberikan ruang kepada graduan menyesuaikan diri dengan komitmen kewangan pada peringkat awal pekerjaan.
Menurut beliau, graduan yang baru bekerja perlu menanggung pelbagai perbelanjaan seperti deposit rumah sewa, pengangkutan dan keperluan pekerjaan, selain membantu keluarga, sebelum kedudukan kewangan mereka benar-benar stabil.
“Penangguhan untuk kumpulan berpendapatan sehingga RM2,500 yang diumumkan dalam bajet bagi 2027 boleh memberikan ruang untuk penyesuaian tersebut.
“Sebagai contoh, jika komitmen asal seseorang ialah RM150 sebulan, penangguhan selama enam bulan memberikan ruang aliran tunai RM900 sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata, ruang kewangan itu perlu dimanfaatkan untuk menyusun semula perbelanjaan bulanan dan membina simpanan, bukannya dianggap sebagai wang tambahan untuk meningkatkan perbelanjaan.
Mengulas penetapan bayaran balik minimum RM50 sebulan bagi peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000, Prof. Dr. Mohamad Fazli berkata jumlah tersebut boleh membantu peminjam meneruskan pembayaran secara konsisten tanpa terlalu menekan kewangan mereka.
Bagaimanapun, penilaian kemampuan membayar perlu mengambil kira pendapatan bersih, kos keperluan asas dan bilangan tanggungan kerana peminjam yang menerima pendapatan sama mungkin mempunyai komitmen kewangan yang berbeza.
“Matlamatnya ialah memastikan peminjam dapat membayar secara berterusan tanpa terpaksa mengorbankan keperluan seperti makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan, termasuk kehilangan pekerjaan atau berdepan penyakit serius, diberikan ruang untuk memohon semakan semula ansuran berdasarkan keadaan masing-masing.
Dalam pada itu, graduan boleh memanfaatkan lebihan wang daripada pengurangan ansuran untuk membina simpanan kecemasan secara berperingkat selepas keperluan asas dipenuhi.

Menurut beliau, sasaran simpanan awal sebanyak RM500 sebelum meningkatkannya kepada RM1,000 boleh dijadikan langkah permulaan mengikut kemampuan kewangan individu.
“Bayangkan jika motosikal yang digunakan untuk pergi bekerja tiba-tiba rosak atau berlaku kecemasan keluarga; simpanan ini memberi mereka pilihan untuk menampung kos tersebut tanpa terus bergantung pada hutang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya tidak menggantikan komitmen yang telah diringankan dengan komitmen baharu, seperti ansuran telefon atau pembelian lain, sehingga tiada lebihan wang untuk disimpan.
Mengulas insentif diskaun 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur, Prof. Dr. Mohamad Fazli berkata, langkah tersebut berpotensi menggalakkan disiplin pembayaran balik, namun keberkesanannya perlu dinilai selepas pelaksanaan.
Pelaksanaan insentif berkenaan perlu mengambil kira keadaan peminjam yang benar-benar menghadapi kesukaran kewangan, di samping menyediakan penjelasan yang jelas mengenai syarat kelayakan dan kaedah pengiraan diskaun.
“Disiplin kewangan bermaksud membayar secara konsisten mengikut kemampuan dan aturan yang dipersetujui dengan PTPTN, tanpa menjejaskan perbelanjaan penting seperti makanan, sewa dan rawatan kesihatan,” katanya.
Dari sudut pembangunan negara, beliau berkata, dasar bayaran balik yang mengambil kira kemampuan peminjam berpotensi membantu graduan membina kerjaya dengan lebih terancang, termasuk memanfaatkan peluang pekerjaan dan latihan yang dapat meningkatkan kemahiran.
Bagaimanapun, keberkesanan dasar berkenaan perlu dinilai berdasarkan perubahan kedudukan kewangan peminjam, keupayaan membina simpanan kecemasan serta kemampuan meneruskan bayaran balik selepas bantuan berakhir.
Beliau turut mencadangkan supaya sistem bayaran balik PTPTN dipertingkat melalui mekanisme yang lebih fleksibel, dengan mengambil kira perubahan pendapatan, tanggungan keluarga dan jenis pekerjaan, termasuk pekerja gig serta individu yang bekerja sendiri.
Pada masa yang sama, bantuan kepada peminjam yang benar-benar memerlukan perlu diseimbangkan dengan usaha memastikan kutipan bayaran balik terus berkesan supaya dana pinjaman pendidikan kekal mampan untuk generasi akan datang.
“Matlamatnya ialah membentuk jadual pembayaran yang mampu dipatuhi secara konsisten, sambil memastikan pembiayaan pendidikan terus tersedia untuk generasi seterusnya,” katanya.
Date of Input: 20/10/2026 | Updated: 20/10/2026 | zarithsofea

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA