KUALA LUMPUR, 25 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus membuktikan reputasinya sebagai universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa apabila meraih dua pengiktirafan berprestij pada Majlis Anugerah Tenaga Kebangsaan (National Energy Awards, NEA) 2025 yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur.
UPM diumumkan sebagai pemenang tempat kedua bagi Kategori 3: Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy) serta menerima Anugerah Khas – Institusi Pengajian Tinggi, sekali gus meneguhkan kedudukannya sebagai peneraju agenda tenaga hijau dan kelestarian negara.
Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata kejayaan ini mencerminkan aspirasi UPM untuk bukan sahaja unggul dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah menjadi institusi yang memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat neutral karbon negara menjelang 2050.
“UPM telah membuktikan bahawa universiti adalah peneraju dalam penyelesaian tenaga lestari. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa institusi pendidikan mampu mencorakkan masa depan tenaga hijau negara.
“Pencapaian ini juga seiring dengan agenda Planetary Health UPM, iaitu pendekatan menyeluruh universiti dalam menghubungkan kesihatan manusia, kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi.
“Melalui inisiatif tenaga hijau, pengurusan kampus rendah karbon dan penyelidikan berimpak tinggi, UPM bukan sahaja menyumbang kepada aspirasi neutral karbon 2050, malah memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam memelihara keseimbangan antara kesejahteraan manusia dan kelestarian bumi,” katanya.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Fadillah Yusof, yang menegaskan bahawa pengiktirafan tersebut membuktikan kemampuan Malaysia menjadi peneraju dalam penyelesaian tenaga lestari.
Sebagai antara 25 pemenang yang akan mewakili Malaysia ke ASEAN Energy Awards (AEA) 2025, UPM bakal membawa nama universiti dan negara ke peringkat serantau. AEA yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) akan menjadi pentas penting untuk memperlihatkan kepakaran dan kepemimpinan UPM dalam bidang tenaga hijau.
Dalam pada itu, beliau berkata UPM sebelum ini giat melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian termasuk pembangunan teknologi tenaga boleh baharu, pengurusan kampus pintar rendah karbon serta projek penyelidikan hijau yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
“Kemenangan di NEA 2025 bukan sahaja mengiktiraf usaha tersebut, malah memperkukuh reputasi UPM sebagai universiti hijau yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan global.
“Kejayaan ini sekali gus mengangkat martabat UPM sebagai contoh universiti penyelidikan yang berjaya mengintegrasikan keunggulan akademik, penyelidikan dan kelestarian bagi membina masa depan mampan untuk negara dan dunia,’’ ujarnya.
Date of Input: 26/09/2025 | Updated: 26/09/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA