UPM, PETRONAS Lancar Projek Blue Carbon Collective | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» NEWS » UPM, PETRONAS Lancar Projek Blue Carbon Collective

UPM, PETRONAS Lancar Projek Blue Carbon Collective

 

 

SERDANG, 19 Jun- Fakulti Hutan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama PETRONAS, melancarkan Projek Blue Carbon Collective secara rasmi semasa Forum Tenaga dan Alam Sekitar 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru- baru ini.

 

Projek yang mendapat kerjasama Mercedes-Benz dan Universiti São Paulo (USP), Brazil, ini memberi tumpuan kepada pemuliharaan dan pemulihan ekosistem bakau di Hutan Simpan Sungai Santi, Kota Tinggi, Johor melalui pendekatan penyelesaian berasaskan alam, dengan sokongan dana daripada PETRONAS dan Mercedes-Benz serta kepakaran antarabangsa USP menerusi metodologi karbon biru daripada Projek BlueShore di Brazil.

 

Forum ini menjadi platform penting yang menyatukan sektor tenaga, pakar alam sekitar dan pihak berkepentingan bagi membincangkan strategi untuk mengintegrasi nilai alam dalam keputusan korporat dan perancangan masa depan.

 

Dekan Fakulti Hutan dan Alam Sekitar UPM merangkap Penasihat projek, Prof. Dr. Azlizam Aziz berkata pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen UPM dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar secara mampan.

 

 

“Inisiatif ini bukan sekadar projek pemulihan, tetapi lambang komitmen bersama dalam membina masa depan yang lebih hijau, dengan sokongan kuat dari industri dan rakan penyelidik antarabangsa,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah projek, Dr. Waseem Razzaq Khan pula berkata projek ini menjadi pencetus kepada kerjasama rentas sektor yang menggabungkan sains, teknologi dan keprihatinan alam sekitar.

 

 

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan daya tahan ekosistem, tetapi juga menjadi langkah penting dalam menangani perubahan iklim melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, projek ini juga menyokong aspirasi UPM untuk memperkukuh peranan universiti dalam menyumbang kepada pemuliharaan alam dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi UPM untuk terus menjadi rakan strategik kepada industri dan masyarakat dalam menangani isu-isu global secara kolaboratif.

Date of Input: 23/06/2025 | Updated: 23/06/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYGXPAj~