Siswazah FSTM Dinobat Pembentang Terbaik SEARCA | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» NEWS » Siswazah FSTM dinobat Pembentang Terbaik SEARCA

Siswazah FSTM dinobat Pembentang Terbaik SEARCA

 

SERDANG, 12 Jun - Seorang pelajar siswazah di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengharumkan nama universiti dan negara apabila dinobatkan sebagai Pembentang Terbaik sempena 10th University Consortium Graduate Forum (UCGF) anjuran Pusat Serantau Asia Tenggara untuk Pengajian Siswazah dan Penyelidikan dalam Pertanian (SEARCA) yang berlangsung di Universitas Brawijaya, Malang, Indonesia, baru- baru ini.

 

Kejayaan tersebut dicapai melalui pembentangan bertajuk “A Baseline Study on the Willingness of Malaysian Meat Manufacturers to Integrate Cultured Meat into Existing Product Lines” yang mengetengahkan kajian terhadap kesediaan industri daging tempatan mengintegrasi daging kultur sebagai sumber protein masa hadapan dalam menangani cabaran keselamatan makanan dan perubahan iklim.

 

 

Ts. Wan Nadirah Wan Chik yang juga Pegawai Teknologi Makanan di Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, kejayaan tersebut melalui persembahan beliau yang dinilai daripada penyampaian yang jelas dan teratur meskipun tajuk yang dibentangkan bersifat kompleks dan teknikal.

 

“Saya menyampaikan kajian mengenai integrasi daging kultur dalam industri daging Malaysia dengan bahasa yang mudah difahami, selain mampu menjawab soalan dengan yakin dan membina interaksi yang baik bersama penonton,” katanya.

 

Beliau yang kini sedang cuti belajar mengikuti pengajian peringkat PhD di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM turut menyifatkan forum ini sebagai pentas penting dalam memperluas pandangan terhadap pertanian mampan serta membina jaringan antarabangsa.

 

 

Mengulas penglibatannya sebagai wakil Malaysia ketika negara menjadi Pengerusi ASEAN, beliau berkata penyertaan ini memberi ruang untuk mengetengahkan komitmen negara dalam bidang pertanian dan inovasi teknologi hijau.

 

“Saya rasa bangga dapat membawa suara Malaysia di pentas serantau, dan forum ini menunjukkan keseriusan kita dalam menyumbang kepada kemajuan pertanian mampan di ASEAN,” katanya.

 

Dalam pada itu, kejayaan ini mencerminkan komitmen UPM dalam menerajui keterjaminan makanan serantau, selaras dengan aspirasi UPM melalui pelan tindakan Blueprint Keterjaminan Makanan serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Date of Input: 12/06/2025 | Updated: 12/06/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYGNPAi~