Setia Lebih 40 Tahun, Tiga Staf UPM Terima Penghargaan MGP 2025 | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Setia Lebih 40 Tahun, Tiga Staf UPM Terima Penghargaan MGP 2025

Setia Lebih 40 Tahun, Tiga Staf UPM Terima Penghargaan MGP 2025

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad dan Ameesya Aghniya Ab Rahim



 

 

SERDANG, 23 Mei – Tiga staf Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah mencurahkan khidmat bakti melebihi empat dekad diraikan dalam Majlis Gemilang Putra (MGP) 2025 sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan dan sumbangan luar biasa mereka kepada universiti.

 

Antara penerima ialah Azahar Othman, 60, yang menyertai UPM pada tahun 1984 sebagai pelayan pejabat sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Sains di Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian.

 

 

 

 

 

 

 

“Kalau diberi peluang untuk ulang semula masa, saya tetap pilih laluan yang sama. UPM sudah menjadi sebahagian besar hidup saya. Susah senang, jatuh bangun, semuanya berlaku di sini,” katanya.

 

Beliau turut berkongsi pengalaman mencabar sewaktu mengikuti kursus di Nebraska, Amerika Syarikat, temoh kursus yang dipanjangkan susulan tragedi 11 September 2001.

 

“Kami terpaksa tinggal lebih lama daripada yang dirancang. Tapi saya anggap itu satu pengalaman yang mengajar erti sabar dan kesediaan,” ujarnya yang turut berpesan kepada staf muda agar sentiasa memegang amanah dengan jujur dan bertanggungjawab.

 

Seorang lagi penerima, Norizah Mohd Yusof, 59, telah berkhidmat selama 41 tahun di Fakulti Pertanian. Beliau memulakan tugas sebagai Pelayan Makmal di Jabatan Pengurusan Tanah dan kini bertugas sebagai Pembantu Khidmat Am.

 

“Perubahan teknologi yang pesat serta bekerja dengan rakan sekerja daripada pelbagai latar umur dan latar belakang akademik antara cabaran yang saya hadapi,” katanya.

 

Norizah turut menjalankan pelbagai tugas luar bidang seperti membantu pensyarah dan pelajar menjalankan penyelidikan, mengurus majlis rasmi dalaman serta menjadi pengawas peperiksaan universiti.

 

“Setiap tugasan ada peranan penting. Tapi isu kewangan staf perlu diambil serius kerana ia boleh memberi kesan kepada kepercayaan dan motivasi,” tambahnya.

 

 

 

 

Sementara itu, Zuber Mohd Saad, 60, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Sains di Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, menyifatkan persekitaran kerja yang positif sebagai pendorong utama kesetiaannya kepada UPM.

 

“Saya diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas tanpa tekanan. Sokongan rakan sekerja juga sangat membantu,” katanya.

 

Beliau bertanggungjawab terhadap analisis air dan air sisa buangan, selain mengurus aset jabatan serta membantu dalam kerja-kerja amali pelajar.

 

Majlis ini turut mengiktiraf lima lagi staf yang telah menyumbang lebih 40 tahun perkhidmatan setia di pelbagai fakulti dan jabatan di UPM menerima Anugerah Perkhidmatan Melebihi 40 Tahun. 

Date of Input: 23/05/2025 | Updated: 23/05/2025 | aghniya

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYFYFAA~