Pelajar UPM Teroka Dunia AI Dan Pembangunan Lestari Di FOI 2025 | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» NEWS » Pelajar UPM Teroka Dunia AI dan Pembangunan Lestari di FOI 2025

Pelajar UPM Teroka Dunia AI dan Pembangunan Lestari di FOI 2025

Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

 

 

PUTRAJAYA, 7 November – Kehadiran pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di Festival of Ideas (FOI) 2025 menyerlahkan semangat kesarjanaan dan keterbukaan mereka terhadap ilmu serta inovasi baharu, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan lestari.

 

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menghimpunkan ribuan pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti seluruh negara sebagai platform perkongsian idea, teknologi dan kreativiti menuju masa depan yang mampan.

 

Mahasiswa UPM hadir bukan sekadar sebagai pengunjung, malah turut memberikan sokongan kepada reruai UPM yang mempamerkan pelbagai hasil penyelidikan dan inovasi termasuk inisiatif keterjaminan makanan serta pameran kesihatan oleh Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM.

 

 

Pelajar Bacelor Sains Matematik dengan Kepujian, Fakulti Sains, Nor Farhan Hilmi Nor Azmi, berkata penganjuran FOI membuka ruang untuk memahami kepelbagaian idea dan inovasi yang sedang digerakkan oleh universiti di seluruh negara.

 

 

“Setiap universiti menampilkan bidang utama masing-masing dan saya berminat untuk mengetahui kemajuan dalam sektor-sektor tersebut,” katanya.

 

Sementara itu, pelajar Bacelor Pendidikan Sains Pertanian, Fakulti Pengajian Pendidikan, Nur Fatin Aina Mazlan, berkata reruai keterjaminan makanan UPM menjadi antara tarikan utama di festival tersebut.

 

 

“Reruai keterjaminan makanan menarik perhatian saya kerana menampilkan inovasi baharu seperti produk berasaskan nenas dan roselle. Dari situ saya dapat memahami bagaimana inovasi makanan ini dapat menjamin kelestarian sumber makanan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

 

Selain pameran dan aktiviti interaktif, FOI 2025 turut mengetengahkan pelbagai hasil penyelidikan dan rekaan pelajar serta pensyarah dalam bidang sains data, teknologi pintar dan pembangunan mampan, seiring dengan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

 

Penyertaan pelajar UPM di FOI 2025 bukan sahaja memperlihatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan AI dan inovasi, malah mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan berfikiran kritikal, berdaya saing serta bersedia menyumbang kepada kemajuan negara melalui ilmu, kreativiti dan keterlibatan komuniti akademik rentas institusi.

Date of Input: 07/11/2025 | Updated: 07/11/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYLICA6~