Bila Mahasiswa Jadi Anak, Kampus Jadi Rumah Kedua | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Bila Mahasiswa Jadi Anak, Kampus Jadi Rumah Kedua

Bila Mahasiswa Jadi Anak, Kampus Jadi Rumah Kedua

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad 

 

 

 

 

 

 

Kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan, beliau sanggup mengabdikan diri membantu mereka tanpa mengira masa atau tenaga.

 

Wanita ini tidak pernah mengeluh atau merasa penat dalam melaksanakan tanggungjawab yang berat demi menabur bakti kepada mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

 

 

 

 

 

Puan Noor Habibah Mohamed Daud merupakan pegawai pelaksana Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM menyatakan tugas yang digalas selama 19 tahun ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar dalam kehidupannya.

 

“Pada tahun ini saya tidak beraya seperti orang lain kerana menjadi sukarelawan UPM bagi membantu pelajar yang ditimpa musibah di Pasir Gudang, Pulau Pangkor dan Putra Heights.

 

“Terus terang, saya tidak beraya bersama keluarga dan saya tiada pembahagian masa yang khusus, terutamanya untuk anak-anak, kerana tanggungjawab ini menuntut keutamaan.

 

“Paling utama, saya perlu menjaga kebajikan pelajar yang lebih memerlukan. Sebab itu, saya sentiasa jelaskan kepada anak-anak tentang kepentingan kerja yang saya lakukan,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Perkhidmatan Profesional (AFNC-KPP) 2024.

 

Ibu kepada dua orang anak berusia 19 dan 21 tahun ini tetap cekal menjalankan tugas kerana percaya bahawa wanita perlu berani melawan ketakutan, mengharungi cabaran dan membuktikan tiada apa yang mustahil dalam kehidupan.

 

“Saya juga tekankan nilai empati kepada anak-anak, supaya mereka faham betapa pentingnya membantu orang lain yang dalam kesusahan.

 

“Apabila kita bantu orang lain, sebenarnya banyak lagi bantuan tak terjangka akan datang daripada Allah SWT.”

 

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui, cabaran dan kekangan masa pernah membuatkan dirinya terdetik untuk berhenti. Namun, beliau percaya situasi itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

 

“Niat saya dalam membantu pelajar semuanya kerana Allah,” katanya ringkas.

 

Menyentuh kerjayanya, momen paling menggembirakan adalah apabila pelajar yang pernah dibantu datang menziarah dan menghargai jasa beliau.

 

Inspirasi hidupnya datang daripada arwah bapanya, Allahyarham Mohamed Daud Ibrahim, bekas Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM pada 1980-an.

 

“Saya membesar dengan pelajar yang ayah bantu di UPM. Dari situ saya ikut jejak langkahnya,” ujarnya.

 

Minat dalam bidang pembangunan pelajar diwarisi sejak kecil dan dijalankan dengan penuh dedikasi. Walaupun banyak kerja dilakukan di belakang tabir, beliau percaya bahawa keikhlasan mampu memberi impak besar kepada universiti dan mahasiswa.

 

Baginya, anugerah yang diterima bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi juga bukti kepercayaan terhadap komitmen dan kasih sayang yang dicurahkan sepanjang perkhidmatannya di UPM.

Date of Input: 23/05/2025 | Updated: 23/05/2025 | aghniya

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYFYDA0~