UPM–DNB Pimpin Transformasi Digital Malaysia Melalui Geran 5G & AI | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» BERITA » UPM–DNB Pimpin Transformasi Digital Malaysia melalui Geran 5G & AI

UPM–DNB Pimpin Transformasi Digital Malaysia melalui Geran 5G & AI




KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama rakan strategik Digital Nasional Berhad (DNB) melakar sejarah apabila menerima geran 5G Enterprise & AI Cities daripada Kementerian Digital sempena ASEAN AI Malaysia Summit 2025.



Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, penganugerahan ini merupakan pengiktirafan terhadap potensi projek tersebut dalam mempercepat pembangunan serta pengkomersialan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.


“Projek ini disasar menjadi pemangkin kepada pelbagai aplikasi strategik yang memberi impak langsung kepada masyarakat dan ekonomi negara, termasuk pertanian pintar, pengurusan bandar bersepadu, pemantauan keselamatan awam, automasi industri, dan pembangunan sektor perkhidmatan berteknologi tinggi.


“Ia bukan sekadar geran, tetapi mandat untuk memacu Malaysia ke hadapan dalam ekonomi digital, membangunkan penyelesaian AI dan 5G untuk manfaat rakyat, industri, dan negara,” katanya.





Beliau yakin dengan sokongan kerajaan dan kerjasama strategik bersama DNB, projek ini dapat direalisasikan lebih cepat dan memberi pulangan besar kepada ekosistem digital negara.

Kerjasama UPM–DNB menggabungkan kepakaran akademia dalam penyelidikan, pembangunan teknologi, dan inovasi dengan keupayaan infrastruktur 5G bertaraf dunia yang dibangunkan DNB.





“Sinergi ini diyakini mampu menghasilkan penyelesaian digital berskala luas, meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos, dan memberi manfaat kepada komuniti bandar serta luar bandar,” ujarnya.

ASEAN AI Malaysia Summit 2025 telah menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, ahli akademik, dan pakar teknologi serantau menjadi platform penting untuk mempamerkan kemajuan teknologi AI dan 5G negara.


Geran berprestij tersebut disampaikan oleh Menteri Digital,  Gobind Singh Deo, kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi. Penganugerahan ini menjadi pengiktirafan terhadap potensi besar projek tersebut dalam mempercepat pembangunan dan pengkomersialan teknologi 5G serta kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Tarikh Input: 14/08/2025 | Kemaskini: 14/08/2025 | syamilakamarul

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYIOXAm~