UPM Galak Penanaman Avokado Tempatan Elak Cukai Import | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» BERITA » UPM Galak Penanaman Avokado Tempatan Elak Cukai Import

UPM Galak Penanaman Avokado Tempatan Elak Cukai Import

 

 

 

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Saleha Haron


PUCHONG, 25 Jun – Permintaan terhadap avokado tempatan dijangka meningkat berikutan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan import termasuk buah avokado yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Pengarah Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin, berkata pelaksanaan cukai tersebut membuka peluang besar kepada pengusaha tempatan untuk meneroka potensi tanaman avokado secara komersial.

“Avokado yang ditanam di dalam negara tidak tertakluk kepada cukai jualan kerana ia tidak melalui proses pengilangan,” katanya pada Program Go Green Ekspress Green Roots, Greener Future bersama Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) hari ini di Ladang Bersepadu Puchong, Pusat Pertanian Putra UPM.

“Avokado import akan dikenakan cukai import sebanyak 5% dan cukai jualan (SST) tambahan sebanyak 5%, menjadikan jumlah cukai kira-kira 10% tidak termasuk kos penghantaran, penyimpanan sejuk dan pengedaran.




Sebelum ini negara telah mengimport lebih 5,000 tan metrik avokado setiap tahun dari negara-negara seperti Australia, Mexico, Kenya dan Filipina, menjadikan buah tersebut antara pilihan premium yang dijual pada harga tinggi di pasaran tempatan, iaitu sekitar RM15 hingga RM20 sekilogram.

Beliau berkata penanaman avokado secara berskala boleh menjadi sumber pendapatan baharu kepada petani dan usahawan tani, selain berpotensi untuk dieksport ke pasaran serantau seperti Singapura dan Brunei.

“Saya berharap agar golongan muda dan pekebun kecil untuk meneroka tanaman ini. Antara varieti yang sesuai ditanam di negara ini ialah Fuerte, Hass, Local West Indian dan Maluma Hass. Ini kerana ia senang tumbuh subur pada iklim tropika Malaysia.

“Selain bebas cukai, avokado tempatan menawarkan kelebihan dari segi kesegaran dan nilai pemakanan yang tinggi, menjadikannya alternatif lebih sihat dan ekonomik kepada pengguna.

“Avokado tempatan berpotensi besar menjadi salah satu produk pertanian masa depan negara,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden ERL, Nachiappan Arasu, turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif memperkenalkan avokado tempatan kepada industri dan masyarakat.

“Kami bersyukur diberi pendedahan mengenai manfaat dan potensi penanaman avokado hari ini. Pihak kami akan meneliti peluang untuk menyokong dan mempromosikan penggunaan avokado tempatan dalam kalangan warga kerja serta pelanggan kami,” ujarnya.

Program yang berlangsung di UPM itu turut melibatkan sesi penerangan teknikal, demonstrasi penanaman dan perkongsian pengalaman dari pakar dari PPP UPM kepada 20 orang staff ERL di Ladang Bersepadu Puchong, Pusat Pertanian Putra UPM.

Tarikh Input: 26/06/2025 | Kemaskini: 26/06/2025 | syamilakamarul

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYGaQAr~