UPM Dan RDA Berkerjasama Usaha Lahir Sukarelawan Terapi Berkuda Bertauliah | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» BERITA » UPM dan RDA Berkerjasama Usaha Lahir Sukarelawan Terapi Berkuda Bertauliah

UPM dan RDA Berkerjasama Usaha Lahir Sukarelawan Terapi Berkuda Bertauliah



Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin


Serdang, 19 Jun
-  Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Riding for the Disabled Association (RDA) Malaysia terus memperkukuh kerjasama dalam usaha meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak istimewa melalui pelaksanaan program terapi berkuda.

Terapi berkuda terbukti berkesan dalam membantu perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk mereka yang menghidap autisme, sindrom Down dan cerebral palsy.

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kerjasama ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kemahiran dalam bidang berkuda, malah memberi kesan positif kepada kesejahteraan kanak-kanak istimewa.

“Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak istimewa untuk menjalani terapi yang menyeronokkan dan bermanfaat terhadap perkembangan diri mereka.

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa pemulihan komuniti secara inklusif dan mampan,” katanya.

Beliau turut berharap sinergi antara UPM dan RDA Malaysia akan terus menjadi pemangkin inovasi dalam bidang terapi berkuda serta menggalakkan lebih banyak institusi dan komuniti untuk bersama-sama memperjuangkan kesejahteraan kanak-kanak istimewa di negara ini.

Sementara itu, Pensyarah Veterinar UPM, Prof. Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin berkata, program ini turut membuka ruang kepada ahli kelab untuk menjalankan aktiviti kesukarelawan bagi membantu kanak-kanak autistik melalui sesi terapi berkuda di bawah bimbingan RDA.

“Kita sedang membangunkan model terapi sukarelawan yang boleh dijadikan pusat latihan. Sukarelawan dalam kalangan pelajar dan staf berpeluang menjalani latihan teknikal bagi menjadi pemimpin kuda, pengiring sisi dan jurulatih yang bertauliah,” ujarnya.

Tambah beliau, latihan khusus dan panduan bertulis akan disediakan sebagai rujukan bagi melengkapkan proses persijilan sukarelawan terapi berkuda.

Sejak kerjasama ini dimulakan, Fakulti Veterinar UPM dan RDA Malaysia telah melahirkan lebih 3,000 sukarelawan. Kini, RDA mempunyai 15 cawangan di seluruh negara dengan penyertaan seramai 730 kanak-kanak istimewa, dibantu oleh 293 sukarelawan serta 53 ekor kuda terlatih.

Tarikh Input: 20/06/2025 | Kemaskini: 20/06/2025 | syamilakamarul

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYGUVAQ~