Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
Serdang, 10 Jun - Menjamin bekalan makanan negara memerlukan pendekatan yang strategik, kreatif dan mampan, khususnya dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, krisis ekonomi dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, konflik peperangan turut memberi kesan kepada rantaian makanan negara apabila banyak bahan kimia pertanian digunakan untuk tujuan ketenteraan.
"Persidangan ini sangat bertepatan dengan cabaran yang dihadapi dunia masa kini. Kita tidak boleh ambil mudah soal keterjaminan makanan kerana ia melibatkan kelangsungan hidup rakyat dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk "Bekalan Makanan Negara: Peranan Kerajaan untuk Ketersediaan Bekalan Makanan Negara" sempena Persidangan Keterjaminan dan Sekuriti Makanan 2025 di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mengulas lanjut, katanya, KPKM telah merangka pelan jangka panjang selama 15 tahun merangkumi tiga Rancangan Malaysia bagi memperkukuh sektor pertanian negara.
Antara langkah utama termasuk membaiki sistem pengairan sawah, menubuhkan Pusat Kecemerlangan (CoE), menggunakan teknologi moden, membina kluster pengeluaran domestik, memperkasa pendidikan TVET serta menubuhkan unit Environmental, Social and Governance (ESG) beserta blueprint khusus untuk sektor pertanian.
"Kita mahu tingkatkan kadar Self-Sufficiency Ratio (SSR) negara, yang masih rendah bagi jagung, ayam dan sayur-sayuran. Hanya sektor perikanan mencatat lebih 100 peratus, dan itu pencapaian yang membanggakan," katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan mempercepat adaptasi teknologi, khususnya dalam kalangan belia.
"Kalau tidak dirancang sekarang, kita akan hadapi krisis tenaga kerja dalam sektor pertanian. Sebab itu, belia dan TVET perlu diberi tumpuan serius," katanya.
"Kita boleh belajar daripada Indonesia yang berjaya berdikari dalam pengeluaran makanan. Keterjaminan makanan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, ia amanah bersama melibatkan negeri, sektor swasta dan rakyat. Ini soal kelangsungan negara," tegasnya.
Tarikh Input: 10/06/2025 | Kemaskini: 10/06/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA