Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mohamad Izrul Abdul Jabar
Memperkukuh peranan sektor swasta merupakan langkah strategik dalam usaha mencapai tahap Sara Diri Makanan (SSL) negara yang lebih seimbang, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Ketua Pegawai Eksekutif MSM Malaysia Holdings Berhad, Syed Feizal Syed Mohammad menegaskan bahawa sektor swasta perlu lebih agresif bagi melengkapkan peranan kerajaan dalam menjamin keterjaminan makanan, terutamanya dalam menghadapi cabaran domestik seperti keterbatasan tanah, kekurangan tenaga buruh serta kesan perubahan iklim.
“Negara perlu meneroka secara lebih meluas potensi pelaburan timbal balik (RI) dalam sektor agromakanan dan pertanian. RI akan membantu menambah sumber bekalan serta mengukuhkan kestabilan makanan negara,” katanya semasa Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan (PKMK 2025) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Menurut beliau, pendekatan RI adalah syarikat tempatan melabur dalam sektor makanan dan pertanian di luar negara namun hasilnya dibawa pulang ke Malaysia.
"RI wajar dijadikan strategi utama bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan global dan meningkatkan kawalan ke atas sumber makanan. RI juga perlu diiktiraf sebagai komponen strategik SSL.
Tambahnya lagi, Malaysia perlu mengubah perspektif terhadap sistem makanan global, dengan tidak hanya bergantung kepada import sepenuhnya, tetapi turut memastikan makanan yang dibawa masuk adalah hasil daripada pelaburan dan kepentingan negara sendiri.
“Pendekatan ini membuka ruang kepada syarikat-syarikat besar tempatan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam mengenal pasti lokasi-lokasi strategik pengeluaran makanan di seluruh dunia,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan agar mewujudkan dasar yang konsisten dan mesra pelabur, menyediakan sokongan pembiayaan bersasar, serta membina ekosistem logistik dan data yang kukuh bagi memudahkan pelaburan luar negara melalui pendekatan RI.
“Industri swasta juga bersedia untuk menyumbang kepada objektif sekuriti makanan negara, namun memerlukan fasilitasi dan sokongan kerajaan bagi membina sistem makanan Malaysia yang mampan dan berdaya tahan,” ujarnya.
Sementara itu, PKMK2025 anjuran UPM menghimpun seramai 686 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan industri bagi membincangkan hala tuju dasar pertanian serta keterjaminan makanan negara.
Tarikh Input: 10/06/2025 | Kemaskini: 10/06/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA