SERDANG, 20 Jun- Kelab MySTEM Ambassador, Universiti Putra Malaysia (UPM) bau-baru ini menganjurkan program Global STEM Outreach: Bridging Borders di American Prep International School (APIS), Thailand bagi memperkenalkan pendidikan STEM kepada pelajar sekolah rendah melalui pendekatan interaktif dan berasaskan pengalaman langsung.
Penasihat program, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen, berkata pendekatan hands-on menjadikan konsep sains lebih jelas dan mudah difahami berbanding kaedah teori semata-mata.
“Aktiviti interaktif seperti ini menghubungkan pembelajaran STEM dengan kehidupan seharian dan memberi impak yang lebih bermakna kepada pelajar,” katanya.
Fasilitator, Ain Nabihah Mohd Padaliah berkata pengalaman praktikal mampu mencetuskan minat awal terhadap STEM dan membina asas pemahaman yang kukuh.
“Kami percaya pendekatan ini turut membina keyakinan dan kemahiran insaniah pelajar melalui kerjasama serta penyelesaian masalah,” katanya.
Guru Besar APIS, Dr. Jay Zamecnik, berkata program ini berjaya menarik minat pelajar terhadap STEM melalui pendekatan yang sesuai dengan tahap pemahaman mereka.
“Inisiatif ini memberi peluang bermakna kepada pelajar kami untuk mengenali dunia STEM secara mudah, menyeronokkan dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, program ini membuktikan komitmen MySTEM UPM dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat antarabangsa serta memperkukuh jaringan kerjasama serantau.
Tarikh Input: 23/06/2025 | Kemaskini: 23/06/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA