BioGreen Week 5.0 Didik Mahasiswa Celik Alam Sekitar Melalui Platform Digital | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» BERITA » BioGreen Week 5.0 didik mahasiswa celik alam sekitar melalui platform digital

BioGreen Week 5.0 didik mahasiswa celik alam sekitar melalui platform digital

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
SERDANG, 3 Julai – Seramai 835 peserta dari pelbagai institusi pendidikan seluruh negara telah menyertai BioGreen Week 5.0 (International Edition) 2025, program tahunan anjuran Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM.
 
 
Program yang bertemakan “Empowering Science Influencers for a Sustainable Future”, yang berlangsung secara dalam talian dari 1 April hingga 17 Mei lalu bertujuan memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan mahasiswa melalui penggunaan platform digital seperti Instagram, Facebook, TikTok dan YouTube rasmi KMB.
 
 
Pensyarah Kanan Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, berkata penggunaan pendekatan kreatif dan digital dalam program ini berupaya melahirkan pempengaruh muda yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga beretika.
 
 
“Melalui cabaran mingguan bertemakan alam sekitar, peserta dapat mengasah kemahiran insaniah dan kepimpinan sambil menyampaikan mesej pemeliharaan alam sekitar secara berkesan kepada masyarakat,” katanya.
 
 
Sepanjang program, peserta menyahut empat cabaran utama iaitu Zero Plastic Heroes (pengurangan penggunaan plastik), Recycle Heroes (pengurusan dan pengasingan sisa), EcoCrafts (menggunakan bahan terpakai secara kreatif) dan Green Canvas Superheroes (penghasilan seni visual dengan mesej kelestarian).
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Pengarah program, Muhammad Aniq Mirza Mohd Mulana, berkata penganjuran BioGreen Week 5.0 membuktikan bahawa anak muda mampu menjadi agen perubahan melalui media digital.
 
 
“Melalui pendekatan digital, mesej kelestarian dapat disebar secara lebih luas dan efektif. Usaha ini juga diharap dapat mencetus lebih banyak inisiatif hijau dalam kalangan mahasiswa dan komuniti,” katanya.
 
 
Dalam pada itu, program tersebut menjadi platform membina generasi celik alam sekitar yang mampu memainkan peranan aktif dalam pembangunan lestari melalui teknologi dan komunikasi masa kini.

Tarikh Input: 04/07/2025 | Kemaskini: 04/07/2025 | aghniya

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYHEWAr~