Ringkasan Artikel
Saya percaya ilmu sains harus disampaikan dengan cara yang mudah dan mesra khalayak. Dengan cara ini, sains tidak lagi terasing, tetapi menjadi sebahagian daripada perbualan harian masyarakat
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto oleh: Mozaid Idris
TikTok bukan platform biasa bagi saintis, tetapi bagi Frazier anak Steward, pelajar Doktor Falsafah dalam bidang Ekologi Marin dan Biodiversiti di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, (Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadikannya sebagai medium utama menyebarkan ilmu laut kepada lebih setengah juta penonton.
Melalui akaun ‘Seketul Alam’ di TikTok, beliau berjaya meraih lebih 500,000 tontonan pada salah satu videonya, mendidik orang ramai mengenai biodiversiti akuatik dengan cara santai, mudah difahami, tetapi penuh nilai ilmu.
Beliau memilih platform TikTok kerana ilmu yang dikongsikan kepada orang ramai itu disampaikan secara visual, ringkas dan memarik agar mereka tidak berasa bosan untuk memahami isu biodiversity akuatik.
Frazier menjelaskan bahawa peranan saintis masa kini tidak lagi terhad kepada kerja-kerja makmal semata-mata, sebaliknya perlu lebih dekat dengan masyarakat. Katanya, ilmu sains harus dibawa keluar daripada ruang akademik dan disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami oleh orang ramai.
“Saya mahu ilmu sains dekat dengan masyarakat, bukan terasing dalam makmal,” katanya.
Atas kesedaran itu, beliau memilih platform TikTok sebagai medium untuk menyampaikan mesej saintifik secara santai, tetapi tetap sarat dengan nilai ilmu. “Saya tekad menggunakan TikTok untuk memberi kesedaran sains secara santai tanpa mengurangkan kandungan ilmiahnya,” ujarnya.
“Saya percaya ilmu sains harus disampaikan dengan cara yang mudah dan mesra khalayak. Dengan cara ini, sains tidak lagi terasing, tetapi menjadi sebahagian daripada perbualan harian masyarakat,” tambahnya.
Sejak kecil, beliau sudah terbiasa turun ke laut bersama ayahnya yang gemar memancing, menjadikannya jatuh cinta dengan laut dan hidupan di dalamnya. Dari situ, timbul minat mendalam untuk memahami dan melindungi biodiversiti marin, terutama ketika melihat habitat semula jadi semakin terancam akibat pencerobohan spesies invasif seperti ikan bandar raya dan tilapia yang mengancam spesies tempatan, merosakkan dasar sungai dan menyebabkan hakisan tebing.
Beliau kini memberi fokus penyelidikan kepada obor-obor, satu bidang yang jarang diterokai di Malaysia.
“Ramai tidak tahu obor-obor penting untuk dikaji. Dulu, nelayan anggap obor-obor tidak ada nilai, tetapi sebenarnya ia memberi kesan kepada ekosistem dan perlu dikenalpasti spesies mana yang berbahaya serta bagaimana ia memberi impak kepada manusia dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, menjadi saintis bukan sekadar duduk di makmal atau mengumpul data, tetapi berperanan mendidik masyarakat agar lebih memahami kepentingan menjaga biodiversiti akuatik.
Anak bongsu ini turut mengidolakan pempengaruh seperti Abang Ikan sebagai inspirasi dalam berkongsi ilmu secara konsisten dan mesra penonton.
“Kita perlukan saintis yang dekat dengan masyarakat. Saya percaya dengan menggunakan media sosial, ilmu sains boleh diangkat sebagai kandungan bermanfaat untuk orang ramai, bukan hanya menjadi viral kosong,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berharap untuk terus kekal dalam dunia penyelidikan sambil aktif menghasilkan kandungan pendidikan mengenai biodiversiti akuatik di media sosial.
“Ikut kata hati. Kalau minat, teruskan. Jangan terlalu dengar cakap orang yang kata bidang ini tiada masa depan. Dalam biologi, turun ke lapangan itu penting, dan ilmu perlu dikongsi dengan masyarakat,” pesannya kepada anak muda yang ingin menceburi bidang sains marin.
Melalui pendekatan kreatif dengan TikTok dan media sosial, beliau membuktikan bahawa sains tidak perlu kaku, sebaliknya boleh menjadi mesra masyarakat sambil memberi impak besar dalam usaha memelihara biodiversiti marin negara.
Tarikh Input: 09/07/2025 | Kemaskini: 09/07/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA