UPM Rangkul Anugerah Teknologi Terbaik ROBOCON 2025 | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» NEWS » UPM rangkul Anugerah Teknologi Terbaik ROBOCON 2025

UPM rangkul Anugerah Teknologi Terbaik ROBOCON 2025

BATU PAHAT, 20 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengukir nama dalam bidang teknologi dan kejuruteraan apabila memenangi Anugerah Teknologi Terbaik pada Pertandingan ROBOCON 2025 yang berlangsung dengan tema “Robot Basketball”.

 

Dua pasukan dari Fakulti Kejuruteraan UPM mara ke peringkat suku akhir dalam pertandingan berprestij yang disertai 26 universiti dari seluruh negara itu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan pingat.

 

Pasukan yang disertai 28 pelajar tahun pertama hingga keempat daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Kejuruteraan Komputer & Komunikasi serta Kejuruteraan Biologi & Pertanian itu menampilkan dua robot yang dibina sepenuhnya oleh pelajar mengikut tema pertandingan, dengan penekanan kepada ketepatan masa dan semangat kerjasama pasukan.

 

Ketua Pasukan, Muhammad Aiman Khairul Anuar, antara kelebihan robot yang membantu kemenangan pasukan adalah keupayaan konsisten dalam melakukan tembakan dari pelbagai jarak dengan penggunaan sistem yang mudah diperoleh.

 

“Robot pertama kami yang dinamakan The Sharpshooter berperanan sebagai penyerang dengan keupayaan melakukan tembakan tepat dari pelbagai jarak menggunakan mekanisme flywheel shooter yang boleh menyesuaikan kuasa tembakan mengikut kedudukan gelung.

 

“Robot kedua kami The Dunking Master berfungsi sebagai pertahanan dengan struktur tinggi untuk menghadang tembakan lawan selain berperanan sebagai penembak dalam zon dua mata menggunakan mekanisme khas untuk dunk,” katanya.

 

Kedua-dua robot ini dibangunkan dalam tempoh enam bulan bermula Disember 2024 hingga Jun 2025 menggunakan sistem separa automatik bagi memudahkan kawalan pergerakan, selain mengaplikasikan sistem pneumatik untuk menimbang dan melontar bola dengan lebih efisien dan pantas.

 

Pasukan ROBOCON UPM turut dibimbing oleh Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Ts. Dr. Nor Mohd Haziq, bersama panel penasihat, Prof. Dr. Wan Zuha Wan Hasan, Prof. Madya Ir. Dr. Norhafiz Azis, Ir. Dr. Hafiz Rashidi dan En. Jasri Jasmi dari jabatan yang sama.

Dalam pada itu, sebanyak 26 universiti dari seluruh Malaysia menyertai pertandingan berprestij ini. Kejayaan ini membuktikan kecemerlangan UPM dalam bidang teknologi dan kejuruteraan serta komitmen dalam melahirkan graduan berdaya saing.

 

 

Date of Input: 30/06/2025 | Updated: 30/06/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYGeVAU~