SERDANG, 3 Jun – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) Sesi 2024/2025 buat julung kalinya menganjurkan Program Putra Bakti: Cakna Sindrom Down 2025 sebagai usaha menyemai nilai kemanusiaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Pengarah program, Muhamad Syafiq Mohd Salleh, berkata program yang disertai lebih 130 peserta termasuk anak-anak sindrom Down serta sukarelawan dari pelbagai universiti memberi peluang kepada mahasiswa UPM untuk memahami realiti kehidupan komuniti istimewa dan memupuk kepekaan sosial secara holistik.
"Program ini bukan hanya tentang memberi bantuan tetapi membina jambatan kemanusiaan yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat serta memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa sejajar dengan aspirasi True North UPM yang menekankan pembangunan seimbang dari segi intelek, emosi dan sahsiah," katanya.
Beliau menambah, penglibatan langsung mahasiswa dalam program sebegini membuka ruang kepada mereka untuk mendalami cabaran dan keistimewaan komuniti sindrom Down secara lebih dekat.
Program tersebut merangkumi pelbagai aktiviti interaktif yang dirangka secara inklusif melalui empat segmen utama iaitu Putra Sihat, Putra Tani, Putra Kreatif dan Putra Kongsi, yang masing-masing mengetengahkan elemen kesihatan, pertanian, seni tradisional dan pendidikan komuniti.
Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM, Dr. Nor Azyati Yusoff, berkata program seumpama ini memberi kesan positif terhadap perkembangan anak-anak istimewa.
“Aktiviti sosial yang terancang seperti ini dapat merangsang kemahiran motor, sosial dan emosi mereka. Malah, ia juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk melihat potensi sebenar anak-anak dalam persekitaran yang menyokong dan terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, penganjuran program turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Farm Fresh, RHB Islamic Bank, NGO JIWA Malaysia, Pertubuhan Ihsan Masyarakat Malaysia, Satria Malaysia, Volunteer Trip Malaysia (VTM), Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan Kolej Canselor UPM, serta komuniti ibu bapa Sindrom Down dari Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Date of Input: 03/06/2025 | Updated: 05/06/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA