Pengangkutan Awam Mampan Harus Prihatin Terhadap Rakyat | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Pengangkutan Awam Mampan Harus Prihatin Terhadap Rakyat

Pengangkutan Awam Mampan Harus Prihatin Terhadap Rakyat

Oleh       : Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mohamad Izrul Abdul Jabar

 

 

 

 

 

5 Jun- Sistem pengangkutan awam negara perlu dibangunkan secara seimbang dengan memberi perhatian kepada tiga elemen teras iaitu kemampuan rakyat, kualiti perkhidmatan dan kemampanan jangka panjang, tegas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

 

Beliau berkata, ketiga-tiga elemen itu perlu digabungkan secara holistik bagi memastikan sistem pengangkutan yang dibina bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat, tetapi turut menyumbang secara mampan kepada pembangunan negara.

“Kegagalan membangunkan sistem pengangkutan awam yang menyeluruh dan responsif terhadap keperluan semasa akan memberi kesan langsung kepada rakyat.




“Antara kesannya termasuk tahap perkhidmatan yang rendah, isu keselamatan, beban kos pengangkutan yang tinggi kepada pengguna serta tahap kebolehpercayaan sistem yang tidak memuaskan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kesan tidak langsung yang timbul akibat kegagalan tersebut termasuklah pencemaran udara yang berpunca daripada penggunaan kenderaan persendirian secara berlebihan, kesesakan lalu lintas di kawasan bandar, ketidakselesaan pengguna, serta ketidakupayaan sistem pengangkutan sedia ada untuk menyediakan akses yang menyeluruh.





“Keadaan ini akan menjadi punca sebahagian masyarakat terus terpinggir dan menjejaskan daya saing ekonomi negara secara keseluruhan” ujarnya.

Beliau memberi pandangan ini ketika menjadi panelis dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri Enam, yang mengangkat tema “Pengangkutan untuk Rakyat” dan memberi fokus kepada isu keperluan mengimbangi antara kemampuan rakyat, kualiti perkhidmatan dan akses kepada sistem pengangkutan yang inklusif dan menyeluruh.

Forum berkenaan turut menampilkan pandangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Ketiga-tiga tokoh ini berkongsi pandangan serta cadangan strategik ke arah penambahbaikan sistem pengangkutan awam negara demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara secara mampan.

Date of Input: 05/06/2025 | Updated: 05/06/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYGGTAX~