UPMKB: Peneraju Pendidikan Dan Penyelidikan Di Sarawak Sejak 1974 | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » UPMKB: Peneraju Pendidikan dan Penyelidikan di Sarawak Sejak 1974

UPMKB: Peneraju Pendidikan dan Penyelidikan di Sarawak Sejak 1974

Article Summary
Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) merupakan institut pendidikan tinggi tertua yang terdapat di Sarawak. Bermula sebagai kampus sementara di Natural Resources Training Centre, Semenggok, Kuching pada 10 Ogos 1974, UPMKB kemudian berpindah ke kampus tetap di Bintulu pada Jun 1987.


Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) merupakan institut pendidikan tinggi tertua yang terdapat di Sarawak. Bermula sebagai kampus sementara di Natural Resources Training Centre, Semenggok, Kuching pada 10 Ogos 1974, UPMKB kemudian berpindah ke kampus tetap di Bintulu pada Jun 1987.

 

 

Pada 27 Ogos 1987, kampus ini secara rasmi dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia Kampus Bintulu, Sarawak, dengan tiga Pusat Pengajian iaitu Sains Gunaan, Sains Asasi, serta Sains Sosial dan Pengurusan yang menawarkan program Diploma dalam Pertanian, Perhutanan dan Perniagaantani.

 

 

 

Kampus ini pernah ditutup daripada beroperasi pada 10 Januari 1992, namun, setelah hampir sedekad, pada Februari 2001 kampus ini dibuka semula dengan fokus dalam bidang-bidang penting seperti Pertanian dan Perhutanan, yang sememangnya sesuai dengan kekayaan sumber alam semulajadi Sarawak.

 

Perkembangan UPMKB sejak itu sangat memberangsangkan, pada tahun 2014, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah merasmikan kampus ini dan menandatangani plak perasmian secara langsung menandakan era baharu bagi UPMKB.

 

 

 

Kini, UPMKB telah berkembang pesat dari hanya menawarkan dua program Diploma kepada sembilan program Diploma, lima program Bacelor, serta 51 bidang pengkhususan dalam program pengajian Master dan PhD melalui penyelidikan.

 

Sebagai usaha memperkukuhkan peranannya sebagai hab pendidikan dan penyelidikan di rantau Borneo, pada tahun 2020, tiga entiti baharu telah ditubuhkan. Institut Ekosistem Borneo Sains (IEB) kini menerajui penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pertanian dan perhutanan, manakala Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) serta Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) turut memainkan peranan penting dalam memperkasakan pendidikan di Sarawak.

 

Selain itu, UPMKB juga terlibat dalam penyelidikan dan inovasi yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan komuniti setempat serta negeri Sarawak antaranya projek Transformasi Padi AgriHub@Gedong UPMKB, projek penubuhan Bambusetum atau lebih dikenali sebagai Taman Buluh bagi membantu meningkatkan hasil bahan mentah dalam industri perkayuan dan banyak lagi.

 

 

Persekitaran kampus yang dikelilingi dengan kehijauan pokok-pokok hutan menyediakan kemudahan pembelajaran dan penyelidikan yang canggih serta menawarkan peluang kepada pelajar untuk menjalankan kajian di lapangan.

 

UPMKB turut berperanan sebagai platform pendidikan yang menghubungkan pelajar dengan komuniti luar bandar, sambil memperkukuh pembangunan agro industri tempatan yang memfokuskan kepada kelestarian alam sekitar dan pembangunan pertanian mampan.

 

Usaha UPMKB ini selaras dengan matlamat universiti dalam memperkukuh keupayaan negara dalam sektor pertanian dan makanan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

 

Dengan pelbagai transformasi yang telah dilalui, UPMKB terus berperanan sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kemajuan pendidikan di negeri Sarawak dan rantau Borneo.

Date of Input: 28/10/2024 | Updated: 28/10/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWMA0~