Pil Pengguguran Haram Berisiko Bawa Maut | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Pil Pengguguran Haram Berisiko Bawa Maut

Pil Pengguguran Haram Berisiko Bawa Maut

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris** 
**Artikel ini telah diterbitkan di BERITA HARIAN pada 20 APRIL 2019.

Oleh Dr. Maiza Binti Tusimin

Isu pengguguran haram dengan kaedah pengambilan pil Cytotec kini timbul semula berikutan 5 kematian akibat penyalahgunaan pil tersebut yang dilaporkan oleh Malay Mail, 17 April 2019.

Penjualan pil pengguguran  atau popular dengan gelaran oleh masyarakat “pil cuci noda” secara berleluasa di alam maya seperti Lazada, facebook, Instagram dan banyak lagi media sosial, membayangkan mentaliti masyarakat masa kini yang menganggap nyawa sikecil itu seolah-olah sudah tidak bernilai lagi.  

Rata-rata pengguna pil tersebut adalah daripada kalangan pelajar sekolah menengah kerana lambakan pil tersebut yang amat mudah dengan hanya berhubungan melalui applikasi Whatsapp.

Tablet Cytotec atau nama generic Misoprostol merupakan produk berdaftar dengan nombor pendaftaran MAL19890225AR. Tablet ini mengandungi Misoprostol 200 mcg, yang diklasifikasikan sebagai Racun Jenis B dan kegunaan utama tablet Cytotec yang didaftarkan adalah untuk merawat ulser.  

Di samping merawat ulser, Cytotec juga bertindak dengan menyebabkan kecutan atau kontraksi rahim yang sangat kuat dan menyebabkan proses keguguran berlaku.

Ianya sangat berkesan sekiranya digunakan pada 12 minggu pertama kehamilan di mana keberkesanannya adalah setinggi 90%.

Bagi wanita atau pasangan yang menginginkan jalan penyelesaian yang mudah, murah dan berkesan, tablet ini lazimnya menjadi pilihan utama daripada berjumpa doktor memandangkan ekses kepada ubat tersebut hanya di hujung jari.

Berbekal sedikit informasi mengenai kesan sampingan tablet Cytotec seperti cirit-birit, sakit pert, loya, sakit kepala, muntah dan sembelit, lazimnya pengguna mengambil remeh akan kesan tersebut dan beranggapan kesan tersebut hanya untuk tempoh masa yang singkat sahaja.

Malangnya, apa yang wanita tersebut  tidak tahu atau gagal fahami adalah kesan buruk akibat pengambilan “pil cuci noda” ini. Antara risiko yang bakal dihadapi oleh wanita termasuk :

  • Penggunaan melebihi 12 minggu akan mengalami kesan yang lebih memudaratkan seperti koyakan teruk pada rahim dan embolism air ketuban (amniotic fluid embolism)
  • Penggunaan di rumah tanpa pemantauan doktor akan mengakibatkan pendarahan yang teruk dari rahim yang koyak sehingga mengakibatkan kematian
  • Sangat merbahaya sekiranya kandungan tersebut sebenarnya adalah kandungan luar rahim (ektopik), dan bukan di dalam rahim. Ini juga akan menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa

Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pelbagai langkah untuk memantau dan menyekat aktiviti penjualan ubat ini melalui Internet, namun perkara ini amat membimbangkan kerana masih tidak dapat dibendung secara menyeluruh.

Untuk makluman awam, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau orang perseorangan sebagai agen bagi produk yang didaftarkan.

Bagaimana pula solusi bagi wanita yang menjadi mangsa rogol? Adakah beliau perlu teruskan kandungan dan menghadapi cemuhan dan tekanan perasaan dari masyarakat sekeliling?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 pada 7-8 Mac 1990 telah membincangkan isu Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

"Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu."

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 pada 1 Julai 2002 juga telah membincangkan isu Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh KECUALI pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Penilaian sama ada kandungan akan menjejaskan nyawa ibu atau tidak adalah di bawah bidang kuasa doktor perubatan sahaja.

Doktor perubatan akan bersidang dan mengkaji tahap kesihatan wanita tersebut dan sekiranya telah terbukti secara klinikal bahawa meneruskan kandungan tersebut menjejaskan  nyawa ibu, maka prosedur pengguguran akan di jalankan di hospital di bawah pemantauan yang rapi.

Kebenaran bertulis akan ditandatangani oleh pihak doktor dan pesakit sebelum prosedur dijalankan. Pesakit akan berada di hospital dari awal sehingga akhir prosedur dan hanya kan dibenarkan pulang ke rumah apabila keadaan kesihatan pesakit  benar-benar memuaskan setelah diperiksa oleh doktor.

Inilah perbezaan antara rawatan hospital dan “rawatan sendiri” yang wanita di luar sana harus faham  kerana ia bukan sahaja melibatnya nyawa janin anda, malah nyawa anda sendiri.

Harus diingatkan berdasarkan Seksyen 312, kanun keseksaan, individu yang menggugurkan anak tanpa sebab boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dr. Maiza Binti Tusimin
Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi,
Pakar Perubatan Reproduktif &  Infertiliti,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan



Date of Input: 23/10/2019 | Updated: 29/11/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWMAr~