Pemikiran Kritis, Daya Tahan Kunci Graduan Kekal Relevan Dalam Dunia Pekerjaan - Pakar UPM | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» ARTICLE » Pemikiran kritis, daya tahan kunci graduan kekal relevan dalam dunia pekerjaan - Pakar UPM

Pemikiran kritis, daya tahan kunci graduan kekal relevan dalam dunia pekerjaan - Pakar UPM

Article Summary
Graduan institusi pengajian tinggi perlu melengkapkan kecemerlangan akademik dengan kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan daya tahan bagi memastikan mereka mampu bersaing serta kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.


Oleh Noor Eszereen Juferi

 

 

 

SERDANG, 30 Oktober -  Graduan institusi pengajian tinggi perlu melengkapkan kecemerlangan akademik dengan kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan daya tahan bagi memastikan mereka mampu bersaing serta kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

 

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Shairilizwan Taasim berkata, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi tanpa keupayaan menyesuaikan diri dan kesediaan untuk terus mempelajari perkara baharu.

 

Menjelang Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 yang bakal berlangsung, beliau turut mengingatkan graduan supaya menjadikan kejayaan memperoleh ijazah sebagai titik permulaan untuk terus meningkatkan kemahiran, membina keyakinan diri dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

 

 

Menurut beliau, graduan perlu memahami bahawa alam pekerjaan bukan sekadar menuntut keupayaan melaksanakan tugasan, sebaliknya memerlukan kebolehan membuat keputusan, menerima teguran dan memberikan sumbangan kepada organisasi.

 

“Pemikiran kritikal membantu kita memahami masalah, kemahiran menyelesaikan masalah membolehkan kita mencari jalan keluar untuk memastikan kita terus berusaha walaupun berhadapan dengan kegagalan.

 

“Graduan perlu bersedia menerima teguran, menyesuaikan diri dengan budaya organisasi dan memahami bagaimana peranan mereka menyumbang kepada matlamat serta perkembangan organisasi,” katanya.

 

Dr. Shairilizwan berkata, universiti memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pusat penyampaian ilmu, malah sebagai tempat membentuk pemikiran, sahsiah dan kematangan pelajar sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

 

 

Beliau berkata, pengalaman sepanjang pengajian perlu dimanfaatkan untuk membina keyakinan, meningkatkan kemahiran komunikasi serta membiasakan diri dengan cabaran yang memerlukan penyelesaian secara rasional dan profesional.

 

“Sebagaimana pelajar perlu memenuhi kriteria penilaian dalam pengajian, pekerja juga perlu memahami standard profesional, jangkaan prestasi dan tanggungjawab yang ditetapkan oleh organisasi.

 

“Setiap organisasi mempunyai matlamat, budaya kerja dan piawaian tersendiri. Pekerja bukan sekadar perlu menyelesaikan tugasan yang diberikan tetapi turut memahami bagaimana sumbangan mereka membantu organisasi terus berkembang, berdaya saing dan relevan,” katanya.

 

Berkongsi pengalaman kerjayanya, beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi pembangunan dan ekonometrik gunaan berkata, pengalaman selama 13 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan dan organisasi swasta sebelum menyertai UPMS  banyak membentuk perspektifnya terhadap kepentingan menghubungkan pengetahuan akademik dengan keperluan sebenar masyarakat.

 

Pengalaman merentas sektor itu turut menjadi asas kepada penglibatan beliau dalam penyelidikan berkaitan kemiskinan dan cabaran sosioekonomi masyarakat di Pulau Bruit, Mukah dan Marudi, Sarawak serta isu penuaan penduduk di Keningau dan Nabawan, Sabah.

 

Menurut beliau, penyelidikan yang dijalankan membuktikan bahawa penyelesaian kepada sesuatu masalah tidak boleh bergantung kepada data dan angka semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keadaan sebenar, pengalaman serta keperluan masyarakat setempat.

 

“Sebagai penyelidik yang mengkaji kemiskinan dan cabaran sosioekonomi di Pulau Bruit, Mukah dan Marudi, Sarawak serta isu penuaan penduduk di Keningau dan Nabawan, Sabah saya melihat kepentingan memahami sesuatu permasalahan daripada pelbagai sudut sebelum merumuskan penyelesaian,” katanya.

 

Beliau berkata, pendekatan penyelidikan yang menggabungkan fakta dan maklumat dengan pemahaman terhadap keadaan sebenar masyarakat juga wajar diamalkan oleh graduan dalam mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi di tempat kerja.

 

“Pendekatan ini penting kepada graduan dalam menyelesaikan masalah kerana kita bukan sahaja perlu melihat maklumat yang ada tetapi memahami situasi, menilai pilihan dan memikirkan kesan setiap keputusan.

 

“Keupayaan menggabungkan pengetahuan teori dengan pemahaman praktikal merupakan antara nilai penting yang boleh membantu graduan menjadi lebih bersedia menghadapi cabaran pekerjaan,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, Dr. Shairilizwan turut mengingatkan graduan supaya menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai amalan serta tidak mengukur kejayaan berdasarkan pencapaian peribadi semata-mata, tetapi juga melalui manfaat yang dapat diberikan kepada organisasi, masyarakat dan negara.

 

Beliau berkata, setiap pengalaman termasuk kegagalan perlu dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan, membina keyakinan dan meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran baharu.

 

Pada masa sama, beliau menggalakkan alumni UPM supaya terus mengekalkan hubungan dengan universiti dan memainkan peranan aktif dalam membantu pembangunan generasi pelajar seterusnya melalui perkongsian ilmu, kepakaran, jaringan industri serta bimbingan kerjaya.

 

“Alumni tidak semestinya perlu kembali ke universiti sebagai ahli akademik untuk menyumbang bakti. Mereka boleh membantu melalui perkongsian pengalaman, bimbingan kerjaya atau membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali dunia pekerjaan dengan lebih dekat.

 

“Sumbangan tidak semestinya dalam bentuk kewangan. Ilmu, pengalaman dan kesediaan membantu juga merupakan sumbangan besar kepada universiti dan masyarakat,” katanya

Date of Input: 31/10/2026 | Updated: 31/10/2026 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLSRAJ~