Matron Tangkis Stereotaip Kahwin Muda | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Matron tangkis stereotaip kahwin muda

Matron tangkis stereotaip kahwin muda

Article Summary
Kerana terlalu mengagumi tugas seorang jururawat yang memberi rawatan kepadanya ketika berada di wad semasa usia 15 tahun telah membuatkan beliau berusaha untuk keluar dari kehidupan susah dan memilih untuk menjadi jururawat apabila dewasa kelak.


Kerana terlalu mengagumi tugas seorang jururawat yang memberi rawatan kepadanya ketika berada di wad  semasa usia 15 tahun telah membuatkan beliau berusaha untuk keluar dari kehidupan susah dan memilih untuk menjadi jururawat apabila dewasa kelak.

Ketua Pengurusan Kejururawatan, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia(HPUPM), Thilakaveni A/P A Ramasamy berkongsi bahawa bukan mudah untuk seorang wanita yang menetap di estet untuk sambung belajar ke peringkat tertinggi dan bekerja dalam bidang kesihatan yang dipelopori oleh kaum lelaki kerana rata-rata masyarakat India akan mengahwinkan anak perempuan pada usia yang muda.

“Saya ada 5 adik beradik dan semuanya perempuan. Jadi yang bongsu adalah saya, namun kakak yang berada di atas saya semuanya dikahwinkan pada usia yang muda dan hanya belajar sehingga umur 12 tahun sahaja walaupun pandai dalam bidang pendidikan kerana ayah sangat susah ketika itu.

“Oleh itu, saya nekad untuk mengubah kehidupan keluarga kami dengan mengubah persepsi perempuan perlu berkahwin . Akhirnya, kejayaan ini membuahkan hasil, pada tahun 1989 saya berjaya menjadi seorang jururawat,” katanya.

Penempatan pertama beliau sebagai seorang jururawat pada tahun 1989 di Klinik Kesihatan Hulu Langat, skop tugasan menjaga ibu mengandung dan kanak-kanak, menjaga pasukan sekolah, kemudian ditempatkan ke wad pembedahan selama 4 tahun dan memulakan perkhidmatan di UPM pada tahun 2002 sehingga kini dengan gred U39 atau matron.

Beliau yang dibesarkan di estet Sungai Buaya, Banting berkata, bukan mudah berkhidmat dalam sektor kesihatan, antaranya sebagai jururawat kerana kerjaya yang dianggap sungguh mulia itu menuntut pengorbanan luar biasa.

Jururawat adalah orang yang kerap berdamping dengan pesakit ibarat pemberi sinar serta harapan baru untuk mereka yakin pulih seperti sedia kala. Malah, mereka berkorban masa dan tenaga dalam kerjaya ini demi tanggungjawab yang digalas.

 “Saya pilih untuk menjadi jururawat dan juga seorang ibu. Jadi kita perlu menghayati tugasan ini tanpa mengeluh walaupun kerja ini sangat sibuk dan kurang masa bersama ahli keluarga,” katanya.

Menurut ibu kepada 3 orang cahaya mata ini, antara rutin tugas beliau ialah menguruskan anak-anak dengan mendidik mereka dalam pelajaran dan paling penting memasak setiap hari untuk makanan anak-anak dari sarapan sehingga ke makan malam walaupun sangat penat dalam waktu yang sangat terhad.

“Jika stress dan selalu mengeluh tidak cukup masa, buat sahaja yang terbaik kerana pengorbanan ini akan membuahkan hasil suatu hari nanti. Kalau kita terlalu beri alasan dan mengeluh tak cukup tidur, rehat, maka semua itu tidak dapat dilakukan kerana tidak mempercayai diri sendiri,” katanya.

Kongsi Thila, kerjayanya ini paling getir sepanjang dua tahun negara berdepan dengan pandemik Covid-19 sebelum fasa peralihan ke endemik pada 1 April 2022.

“Saya turut bertugas ketika negara bergelut memerangi penularan Covid-19 begitu mencabar dan sukar untuk dilupakan.

 “Waktu itu doktor dan jururawat semakin ramai dijangkiti namun mereka diminta untuk terus bekerja apabila semakin ramai pesakit yang mengalami gejala memenuhi hospital serta klinik dan akan diingati sampai bila-bila,” katanya yang bakal berpencen pada Jun 2024.    

Selama 34 tahun berkhidmat sebagai jururawat, beliau mengakui wujud dalam sanubarinya rasa komitmen yang menebal setelah menempuh pelbagai pengalaman serta bertemu pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau sama sekali tidak menyesal memilih kerjaya jururawat kerana di sebalik tekanan serta pengorbanan, ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi adalah sesuatu yang tidak ternilai.

“Kesabaran adalah kunci utama yang perlu dimiliki oleh setiap jururawat.

Rata-rata pasukan jururawat di HPUPM menyatakan beliau sangat tegas ketika bertugas, tetapi hemahnya sentiasa santun dan juga menghiburkan dalam memastikan anak-anak buahnya kekal fokus dalam kerjaya yang melibatkan hidup mati manusia ini.

 “Pesanan saya kepada semua jururawat, kita kena buat sebaik mungkin untuk pesakit, cintakan pekerjaan ini dan jalankan tanggungjawab untuk diberi kepada orang luar. Perasaan semasa menjaga pesakit kenalah sama.

“Setiap pesakit yang dijaga adalah keluarga kita,” katanya. - UPM

Date of Input: 21/02/2023 | Updated: 21/02/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWMAD~