Mampukah Vaksin Redakan Penularan COVID-19? | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Mampukah vaksin redakan penularan COVID-19?

Mampukah vaksin redakan penularan COVID-19?

Article Summary
Cabaran yang paling utama yang bakal dihadapi oleh Malaysia adalah cabaran logistik. Seperti pada vaksin yang lain, vaksin COVID-19 memerlukan sistem rantaian suhu sejuk yang baik iaitu sistem pengawalan suhu daripada peringkat pengeluaran, pengangkutan sehinggalah pengagihan. Sebarang perubahan suhu akan menjadikan vaksin tersebut rosak dan tidak berkesan jika diberi kepada manusia.


**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English

Oleh Prof. Dr. Zamberi Sekawi
Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)  telah mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai pandemik dan sehingga kini 73 juta orang di seluruh dunia telah dijangkiti dan pandemik ini telah membunuh seramai 1.6 juta orang. Hampir kesemua negara telah terlibat termasuklah Malaysia. Di Malaysia, setakat ini seramai 85 ribu orang telah dijangkiti dengan kematian seramai 416 orang.

COVID-19 disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 yang berasal daripada haiwan dan kelawar dikatakan sebagai hos semula jadi. Walau bagaimanapun, hos perantaraan di antara kelawar dan jangkitan manusia masih belum lagi diketahui. Pelbagai kaedah telah digunakan oleh banyak negara untuk mengawal wabak ini; termasuklah pengawalan pergerakan, kuarantin dan pematuhan prosedur operasi standard seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan tangan yang baik.

Baru-baru ini, diberitakan, beberapa vaksin telah diluluskan oleh beberapa negara untuk kegunaan kecemasan. Vaksin tersebut yang mengunakan teknologi tradisional dan juga teknologi baharu seperti mRNA telah dihasilkan oleh Amerika Syarikat dan Cina setakat ini. Vaksin daripada Amerika Syarikat diberi publisiti meluas disebabkan penggunaan teknologi terbaharu yang tidak pernah digunakan sebelum ini. Tambahan pula, keberkesanan vaksin ini dilaporkan menjangkau melebihi 90% dan ini sangat mengkagumkan.

Persoalannya sekarang adakah vaksin ini dapat meredakan penularan COVID-19. Untuk mengurangkan penularan penyakit ini, saintis telah membuat pengiraan bahawa imuniti kelompok untuk COVID-19 adalah 60% hingga 70%. Imuniti kelompok adalah bentuk pelindungan tidak langsung dari penyakit berjangkit apabila peratusan populasi yang mencukupi telah imun terhadap jangkitan tersebut, baik melalui vaksinasi atau jangkitan sebelumnya, sehingga mengurangi kemungkinan terjadinya jangkitan pada individu yang kurang imun.

Untuk mencapai peratusan 60 - 70% ini bukanlah mudah kerana pada peringkat awal, akan berlaku ‘perebutan’ pembelian vaksin terutamanya di kalangan negara kaya. Disebabkan seseorang dikehendaki mendapatkan dua dos dalam jangka masa tiga minggu, proses untuk mendapatkan imuniti seluas mungkin untuk sesuatu populasi akan memakan masa. Untuk dunia mendapat mencapai kelompok imuniti pula, akan memakan masa beberapa tahun. 

Cabaran yang paling utama yang bakal dihadapi oleh Malaysia adalah cabaran logistik. Seperti pada vaksin yang lain, vaksin COVID-19 memerlukan sistem rantaian suhu sejuk yang baik iaitu sistem pengawalan suhu daripada peringkat pengeluaran, pengangkutan sehinggalah pengagihan. Sebarang perubahan suhu akan menjadikan vaksin tersebut rosak dan tidak berkesan jika diberi kepada manusia. Sudah pasti, kerajaan perlu merancang dengan teliti dari segi pengangkutan vaksin, logistik penyimpanan, pengagihan kepada yang layak dan latihan kepada staf yang mengendalikan vaksin ini.

Cabaran lain yang juga penting adalah pengurusan berita palsu dan maklumat kurang tepat serta penentangan oleh golongan antivaksin. Jika tidak ditangani dengan betul, cabaran ini boleh menggagalkan usaha untuk mengawal penularan penyakit ini.

Date of Input: 14/01/2021 | Updated: 14/01/2021 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWMAf~