Article Summary
Antara perkara dalam Rukun Negara ialah Kedaulatan Undang-Undang. Ini bermaksud bahawa tiada sesiapa pun dapat mengatasi undang-undang. Setiap individu perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Oleh: Dr. Mohammad Nidzam bin Abdul Kadir
Antara perkara dalam Rukun Negara ialah Kedaulatan Undang-Undang. Ini bermaksud bahawa tiada sesiapa pun dapat mengatasi undang-undang. Setiap individu perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Dalam riwayat hadis, satu peristiwa yang melanggar undang-undang iaitu kes mencuri pada zaman Nabi s.a.w. Perbincangan wujud dalam kalangan beberapa Sahabat Nabi untuk melepaskan si pencuri kerana kedudukannya yang agak tinggi dalam masyarakat atau diringankan hukumannya. Perkara ini disampaikan kepada Nabi s.a.w. maka Nabi s.a.w. amat marah. Ini kerana wujud sikap membezakan antara individu yang kaya atau mulia dengan individu yang miskin atau tidak berpangkat dalam masyarakat. jika individu itu kaya atau mulia maka hukuman dihapuskan atau diringankan. Sebaliknya jika individu itu miskin atau tidak berpangkat maka hukuman dilaksanakan dengan sepenuhnya dan tegas. Maka perkara ini melanggar prinsip kedaulatan undang-undang. Maka Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
“Jikalau Fatimah binti Muhammad mencuri maka aku akan hukum potong tangannya”.
Sayyidatina Fatimah adalah anak Nabi s.a.w. dan wanita mulia. Namun pengajaran penting di sebalik hadis ini ialah ketegasan Nabi s.a.w. terhadap kepatuhan kepada undang-undang. Jika anak Nabi sendiri yang mencuri dan didapati bersalah maka Nabi tetap akan menjalankan hukuman.
Dalam riwayat hadis yang lain, ada seorang Sahabat yang didapati minum arak. Oleh itu, Nabi s.a.w. tetap menjalankan hukuman syarak terhadap Sahabat tersebut.
Dua peristiwa ini menunjukkan dengan jelas bahawa Nabi Muhammad s.a.w. menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan tegas terhadap prinsip ini. Berdasarkan dua catatan peristiwa ini, pihak berkuasa perlu mengambil pengajaran untuk tegas melaksanakan kedaulatan undang-undang. Jika pihak berkuasa tegas melaksanakan sesuatu perkara berdasarkan undang-undang maka undang-undang akan dihormati oleh rakyat. Pihak berkuasa akan dihormati. Kesannya ialah kewujudan keamanan, keadilan dan keharmonian. Namun jika pihak berkuasa tidak tegas, maka:
- undang-undang akan dipandang ringan oleh rakyat.
- akan wujud tindakan pilih kasih di mana tegas terhadap insan tertentu namun berlembut terhadap insan tertentu.
Dua perkara ini akan membawa kesan buruk iaitu ketidakadilan dan ketidakharmonian. Ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati yang besar dalam masyarakat apatah lagi jika ia melibatkan kaum etnik yang berbeza. Maka pihak berkuasa mesti bergerak berlandaskan ketegasan tanpa pilih kasih.
Namun bagi individu dan kumpulan tertentu, sikap simpati wajar ada terhadap pelaku kesalahan. Sikap simpati ini tidak seharusnya menidakkan undang-undang dan ketegasan terhadap undang-undang.
Dalam kes pencerobohan tanah untuk binaan tertentu seperti rumah ibadat samada masjid atau kuil, pembinaan ruang hadapan rumah yang mengambil jalan awam dan sebagainya, tindakan mesti diambil berpandukan undang-undang. Contohnya arahan perobohan dan pengosongan wajib dipatuhi. Jika tidak dipatuhi, tindakan undang-undang mesti dilaksanakan. Setiap individu atau pihak yang engkar arahan hendaklah diambil tindakan undang-undang. Dengan ketegasan ini, peratusan untuk menceroboh bagi pembinaan haram akan lebih mudah dikawal.
Pampasan atau bayaran ganti rugi tidak sewajarnya dan tidak seharusnya dijadikan budaya kerana ini akan menggalakkan lagi perlanggaran undang-undang. Sikap perundingan sehingga penceroboh diberi wang pampasan, tanah ganti dan sebagainya menunjukkan bahawa pencerobohan tanah adalah tidak salah. Contohnya pihak yang melanggar kesalahan lalu lintas hendaklah disaman dengan jumlah wang tertentu. Pengurangan atau diskaun harus diberikan bagi menggalakkan bayaran saman apatah lagi kesalahan tersebut tidaklah memudaratkan orang lain. Namun tidak sewajarnya pelaku kesalahan jalan raya diberi pampasan kerana ini menjejaskan kedaulatan undang-undang dan menggalakkan lagi perlanggaran undang-undang-undang.
Budi- bicara dan sikap empati wajar ada tanpa menidakkan ketegasan terhadap undang-undang. Contohnya pencerobohan tanah untuk ternakan haiwan. Pencerobohan ini wajib ditamatkan namun haiwan ternakan hendaklah diuruskan dengan baik. Contohnya haiwan ternakan dijual supaya hasilnya dapat dimanfaatkan.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Ini adalah satu tradisi yang sangat baik. Ia menggambarkan sikap yang patuh kepada undang-undang. Pada masa yang sama, pihak berkuasa mestilah tidak rakus dan semberono dalam melaksanakan hukuman. Siasatan hendaklah dilakukan dengan adil dan cermat.
Kita perlu terus mendokong kedaulatan undang-undang. Setiap pencerobohan mesti ditangani dengan undang-undang yang tegas. Ketegasan ini adalah aset penting kepada keadilan dan keharmonian.
Date of Input: 29/05/2025 | Updated: 29/05/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA