“Jangan Pernah Malas Dan Berhenti Berusaha Untuk Berjaya” | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » “Jangan pernah malas dan berhenti berusaha untuk berjaya”

“Jangan pernah malas dan berhenti berusaha untuk berjaya”

Article Summary
Isu penyertaan golongan muda lepasan IPT dalam sektor pertanian khususnya sebagai usahawan tani dilihat amat membelenggu negara. Lebih menghairankan, pelajar jurusan pertanian turut tidak berkeyakinan untuk menceburi sektor pertanian.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
 
 
Isu penyertaan golongan muda lepasan IPT dalam sektor pertanian khususnya sebagai usahawan tani dilihat amat membelenggu negara. Lebih menghairankan, pelajar jurusan pertanian turut tidak berkeyakinan untuk menceburi sektor pertanian.
 
Kajian mendapati walaupun mereka mempunyai sikap positif terhadap kerjaya dalam sektor pertanian, namun ia tidak membawa keyakinan tinggi dalam kalangan mereka untuk berkecimpung sebagai usahawan tani.
 
Bagi Muhammad Ikram Marozann, 23, pelajar tahun tiga akhir Bachelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian, Fakulti Pertanian UPM, pada mulanya beliau tidak meminati bidang pertanian yang diceburi, tetapi setelah melihat sektor ini mampu memberi pendapatan yang tinggi sewaktu menjalani latihan industri di Sabah telah membuka matanya sebagai satu peluang untuk mengusahakan tanah yang disediakan oleh bapanya.
 
“Pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, saya belajar secara atas talian dan masa itu memang tak boleh nak duduk diam. Minta izin dengan ayah untuk melakukan penjualan ubi kayu kerana ianya paling senang dah mudah untuk ditanam.
 
Bukan itu sahaja, permintaan ubi kayu sangat tinggi dalam masyarakat Melayu. Ini kerana ubi kayu dikatakan senang dan mudah ditanam. Tanaman ini mudah tumbuh di kawasan tanah subur dan dijaga dengan baik. Bahkan, terdapat pokok ubi kayu yang tumbuh di dalam semak secara meliar.
 
“Ubi kayu mendapat permintaan tinggi kerana harganya kini semakin mahal dan keduanya pucuknya menjadi permintaan ramai untuk dibuat sayur atau ulam.
 
“Sambil kelas atas talian, saya ambil inisiatif jual hasil sayur yang ditanam iaitu ubi kayu dan ulam daun ubi ke pasar borong terbesar di Johor Bharu. Saya turut menanam serai yang juga mempunyai permintaan yang cukup tinggi,” katanya.
 
 
Semua orang telah diuji pada PKP 3 tahun lalu, beliau juga tidak terkecuali. Tuaian ubinya banyak tetapi tidak boleh dipasarkan ke seluruh negara. Bagi mengelakkan ubi tersebut menjadi busuk, ibunya telah memberi cadangan agar ubi ini diproses menjadi tapai ubi yang manis, lembut dan berkualiti tinggi dan menepati rasa diinginkan.
 
“Membuat tapai ini tidaklah susah, tapi penuh dengan petua supaya tapai menjadi dan tahan lama. Mula-mula kami hanya menjual di sekitar kampung dan kemudian mendapat permintaan yang sangat tinggi sehinggakan tidak cukup tangan.
 
“Kami pun cuba dengan skala pembuatan tapai ubi dengan lebih besar. Bermula dengan seorang ejen dan meletakkan tapai ubi di kedai-kedai berdekatan. Alhamdulillah, berkat dari proses tersebut seorang lelaki dari Singapura mencuba tapai ubi kami dan telah memasarkan di Singapura sehingga kini.
 
Kini beliau telah berjaya membuka sebuah Kilang Bimbingan dan Kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) MaroMaro Agro Biz yang menjual dua jenis tapai ubi iaitu Tapai Ubi Wak Maro dan Tapai pulut Wak Maro. Bukan itu sahaja, beliau juga menjual kerepek pisang hasil dari kebunnya itu juga.
 
Beliau berkata UPM adalah sebuah universiti yang banyak memberi ilmu dan juga bantuan dari segi kewangan untuk membuatkannya berjaya sehingga hari ini dalam bidang pertanian yang diceburi.
 
“Putra Sains Park (PSP UPM) banyak membantu saya dengan memberi modal awal untuk membuka dua cawangan kedai dalam bidang perniagaan ini.
 
“Ayah dan ibu adalah guru yang banyak membantu dan memberi saranan kapada saya untuk berkecimpung dalam sektor pertanian khususnya sebagai usahawan tani.
 
“Jangan pernah malas dan berhenti berusaha untuk berjaya,” katanya.

Date of Input: 21/06/2023 | Updated: 21/06/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMWMAG~