Article Summary
Situasi mendesak yang dihadapi rakyat Malaysia kini menuntut setiap individu untuk mencetuskan idea inovatif demi menangani dan mengurangkan kesan pelbagai masalah sosial dan ekonomi secara kreatif serta berkesan.
Oleh: Inv. Asrizam Esam, Putra Sceince Park
Situasi mendesak yang dihadapi rakyat Malaysia kini menuntut setiap individu untuk mencetuskan idea inovatif demi menangani dan mengurangkan kesan pelbagai masalah sosial dan ekonomi secara kreatif serta berkesan.
Semangat tinggi, kecanggihan kecerdasan buatan dan keazaman untuk berkongsi idea bukan sahaja mampu memperbaiki kualiti hidup dan kesejahteraan sosial secara menyeluruh, malah menjadi nadi penting dalam memastikan negara terus maju dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.
Rakyat Malaysia digalakkan agar tidak berdiam diri, sebaliknya berganding bahu mencurahkan pemikiran dan solusi yang bernas demi kesejahteraan bersama.
Dengan pendekatan whole-of-nation yang diserukan oleh kerajaan dan pelbagai pihak, setiap sumbangan idea dari pelbagai lapisan masyarakat amat bernilai dan mampu membawa perubahan besar.
Mengakar ke bumi, menggapai langit sering diucapkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, membawa maksud yang sangat mendalam dalam konteks pembangunan negara.
Ia menegaskan pentingnya rakyat Malaysia untuk sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai asas, jati diri bangsa, budaya dan kepercayaan agama sebagai asas kukuh dalam menghadapi cabaran masa kini.
Konsep “mengakar ke bumi, menggapai langit” ini mengingatkan kita supaya tidak lupa pada akar budaya dan nilai asas ketika mengejar cita-cita besar dan kemajuan teknologi.
Dengan berpijak pada realiti dan kekuatan dalaman, rakyat dapat menghasilkan idea yang bukan sahaja inovatif tetapi juga relevan dan berdaya guna dalam konteks Malaysia.
Sementelahan, semangat ini menjadi landasan penting untuk menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam menjana solusi demi masa depan negara.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa untuk menghidupkan Malaysia baru yang berprinsip dan berpegang pada nilai murni, negara perlu diperkukuh dengan idea, ilmu, dan pencerahan.
Konsep lazzatul ma’rifah yang dikaitkan dengan Saidina Ali bin Abi Thalib ini menjadi sumber inspirasi utama dalam usaha membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Konsep ini juga merujuk kepada keindahan dan kemanisan ilmu pengetahuan yang memberi pencerahan serta membimbing manusia ke arah kebaikan.
Dengan mengamalkan prinsip ini, Malaysia dapat membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi teknologi dan ekonomi, tetapi juga kukuh dari segi nilai dan moral.
Dalam konteks Malaysia MADANI yang merupakan kerangka dasar bersepadu dan holistik, konsep ini menjadi panduan untuk memastikan setiap dasar dan pelaksanaan negara berorientasikan nilai kemanusiaan, keadilan, dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Ia selari dengan enam rukun MADANI iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAT, keyakiNan dan Ihsan yang menjadi tonggak utama dalam membina masyarakat madani yang maju, bertamadun dan inklusif.
Dengan berpijak kukuh pada akar budaya dan nilai tempatan, Malaysia dapat menggapai aspirasi menjadi negara maju dan sejahtera yang berdaya saing di peringkat global.
Bersama-sama, melalui inovasi dan kreativiti, kita dapat mengatasi isu kemiskinan, jurang pendidikan, kesihatan mental, serta cabaran sosial lain yang semakin membelenggu rakyat Malaysia hari ini. Mencetuskan idea dalam konteks ini juga penting untuk mempercepatkan pembangunan sosial dan ekonomi negara secara inklusif.
Dengan idea-idea baharu yang lahir daripada pengalaman dan keperluan sebenar rakyat, Malaysia dapat membina sistem sokongan sosial yang lebih mantap, mengurangkan jurang sosial dan ekonomi, serta meningkatkan daya tahan komuniti terhadap cabaran masa depan.
Ini menjadikan peranan setiap individu dalam menyumbang idea bukan sahaja relevan tetapi kritikal demi masa depan negara yang lebih sejahtera dan maju.
INISIATIF IDEA BERSEPADU MELALUI IDEAVAULT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menyahut seruan ini dengan memperkenalkan IdeaVault, satu platfom pengumpulan dan penilaian idea rakyat Malaysia secara besar-besaran.
Melalui IdeaVault, ia menggalakkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk profesional, pelajar, dan orang awam, untuk berkongsi idea kreatif dan solusi praktikal. Budaya inovasi berasaskan pengetahuan dan teknologi dapat diperkukuh demi kemajuan rakyat dan negara.
Program yang dijayakan melalui kerjasama Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia, dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ini merupakan sebahagian daripada program Festival Idea Putrajaya.
Platform khas seperti IdeaVault amat penting untuk membudayakan perkongsian pengetahuan, menggalakkan kreativiti, dan memupuk rasa tanggungjawab kolektif demi membentuk masa depan Malaysia yang lebih maju dan lestari.
Idea dan inovasi adalah pemacu utama kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial, dan kelestarian alam sekitar, yang memastikan warisan berdaya tahan untuk generasi akan datang.
Melalui IdeaVault, rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dapat mencurahkan idea kreatif yang berpotensi menjadi solusi inovatif terhadap isu-isu semasa dalam bidang seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan kelestarian alam sekitar.
Amat penting bagi Malaysia untuk terus menggalakkan dan memperkasakan penciptaan idea-idea inovatif yang relevan dan berdaya maju, khususnya dalam bidang teknologi digital, tenaga baru, dan automasi.
Penyertaan aktif rakyat dalam mencetuskan solusi baharu akan memastikan negara tidak hanya mampu mengatasi cabaran semasa, tetapi juga memperkukuh kedudukan sebagai negara maju yang berdaya saing, menjana mahsul baharu kepada negara dan mampan di masa hadapan.
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain menunjukkan bahawa walapun sumbangan idea rakyat ini dilihat kecil, namun pastinya ia menjadi benih inovatif untuk menangani atau mengurangkan kesan masalah kesejahteraan sosial secara menyeluruh dan lebih besar lagi.
Seruan agar pembangunan negara tidak hanya berasaskan kemodenan dan kemajuan material semata-mata, tetapi juga berpandukan kepada akar budaya dan nilai moral yang kukuh agar kemajuan yang dikecapi bersifat mampan dan memberi manfaat sejagat.
Dengan pendekatan seimbang ini, Malaysia dapat membina masa depan yang progresif tanpa mengabaikan warisan serta identiti nasional yang menjadi tunjang perpaduan dan kestabilan negara.
Justeru, pembenihan idea yang di suburkan dari ilham seluruh rakyat yang mengakar ke bumi, dan hasilnya akan dapat menggapai ke langit, pasti memberi impak yang amat baik kepada bumi Malaysia ini.
Inilah masanya untuk kita semua bangkit dengan semangat juang yang tinggi, berani berfikir di luar kotak, dan aktif mengambil peranan dalam membentuk masa depan negara yang lebih inklusif, mampan dan sejahtera.
Date of Input: 02/07/2025 | Updated: 02/07/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA