Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad
Foto Oleh: Md Nasir Hussin
SERDANG, 23 Jun- Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) menganjurkan Seminar on Responsible Aquaculture: “Farming the Future: Ethics, Ecosystems and Economic Growth” dengan kerjasama James Cook University, Singapura yang mendapat sokongan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia.
Seminar ini menghimpunkan pakar dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu pemakanan mapan, kesihatan ikan, pensijilan biosekuriti serta trend semasa dalam industri akuakultur.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, seminar ini sejajar dengan agenda nasional dalam memperkukuh sektor pertanian dan makanan.
“UPM komited menerajui penyelidikan dalam bidang pertanian yang menjadi pemacu utama pembangunan masa depan,” katanya.
Pengarah (I-AQUAS), Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, penglibatan pakar dari pelbagai negara membuktikan kesungguhan UPM dalam menangani cabaran sebenar industri akuakultur.
“Ini juga selari dengan peranan UPM sebagai pusat rujukan ilmu dan penyelidikan dalam bidang akuakultur lestari,” katanya.
Ketua Unit Marin WWF Malaysia, Amierah Amir berkata seminar ini menjadi platform penting untuk menjalin kerjasama dan bertukar pandangan antara pelbagai pihak.
“Hubungan yang seimbang antara manusia dan alam semula jadi amat penting dalam memastikan kelangsungan industri akuakultur,” katanya.
Dalam pada itu, seminar ini merupakan aktiviti pertama selepas termeterainya Memorandum Persefahaman antara UPM dengan James Cook University pada Januari lalu, sekali gus mengukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang akuakultur dan sains akuatik.
Date of Input: 30/06/2025 | Updated: 30/06/2025 | aghniya
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA