TEMANS 2.0 Hangatkan Penutup Karnival Putra Mega Kokurikulum (MEGCO) 2025 | Universiti Putra Malaysia 99 spel-waf
» NEWS » TEMANS 2.0 hangatkan penutup Karnival Putra Mega Kokurikulum (MEGCO) 2025

TEMANS 2.0 hangatkan penutup Karnival Putra Mega Kokurikulum (MEGCO) 2025

 

SERDANG, 24 Jun - Temasya Manifestasi Seni (TEMANS) 2.0 yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menjadi acara penutup Karnival Putra Mega Kokurikulum (MEGCO) 2025, dengan mengangkat seni sebagai wahana utama penyatuan mahasiswa kursus kokurikulum berkredit.

 

Program ini bertujuan meraikan kreativiti pelajar serta memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan melalui penglibatan aktif dalam aktiviti seni, sukan dan sosial, selaras dengan hasrat UPM dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.

 

Pelbagai persembahan menarik seperti teater pendek, puisi deklamasi, tarian tradisional dan muzik kontemporari telah menyemarakkan pentas, menyentuh hati penonton dengan mesej-mesej kemanusiaan, warisan dan perpaduan.

 

 

Pengarah PKPP, UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata, MEGCO merupakan salah satu platform strategik untuk mendidik dan membina sahsiah mahasiswa melalui pendekatan luar bilik kuliah.

 

“Penganjuran program ini adalah selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki keperibadian unggul serta daya saing tinggi,” katanya.

 

Pengarah TEMANS 2.0, Ilham Roshidi berkata harapan beliau agar program ini terus menjadi ruang menyemai rasa cinta terhadap seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa.

 

“Program ini menjadi platform yang menyatukan mahasiswa melalui seni serta memelihara warisan budaya agar terus relevan dalam arus kemajuan,” katanya.

 

 

Salah seorang peserta persembahan, Nurul Hidayah Abdul Halim berkata, penglibatannya dalam persembahan sajak “15 Cahaya Lilin” memberi makna besar buat dirinya sebagai mahasiswa dan insan.

 

“Melalui persembahan ini, saya belajar tentang empati, pengorbanan dan kekuatan dalam menyampaikan mesej kemanusiaan kepada penonton,” katanya.


Dalam pada itu, program ini turut membuka ruang interaksi bermakna dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah serta mengukuhkan semangat kerjasama dalam komuniti kampus melalui medium seni yang menyentuh hati dan menyatukan jiwa.

Date of Input: 24/06/2025 | Updated: 24/06/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYGZFAk~