Agro@UPM Dedahkan Staf Baharu Kepada Teknologi Pertanian Moden | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Agro@UPM dedahkan Staf Baharu kepada Teknologi Pertanian Moden

Agro@UPM dedahkan Staf Baharu kepada Teknologi Pertanian Moden

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad

Wartawan Pelatih

Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM

 

Foto Oleh: MD Nasir Hussin

 

 

 

 

 

SERDANG, 15 Mei- Program Kembara Ilmu Agro@UPM membuka peluang kepada 69 staf pelaksana baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mendalami teknologi dan amalan pertanian moden berteraskan inovasi dan kelestarian.

 

Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program Transformasi Minda (PTM) Pelaksana Siri 2/2025 anjuran Pejabat Pendaftar UPM juga selaras dengan pelan tindakan Blueprint Keterjaminan Makanan yang dilancarkan pada Jun tahun lalu. 

 

 

 

 

Menurut Ketua Seksyen Latihan, Pejabat Pendaftar, Siti Khadijah Ahmad, modul latihan amali ini memberi pendedahan secara langsung kepada staf mengenai peranan UPM sebagai universiti unggul dalam bidang pertanian berasaskan sains dan inovasi.

 

“Melalui pengalaman sebenar ini, peserta bukan sahaja dapat memahami secara lebih mendalam ekosistem pertanian moden, malah akan lebih menghargai nilai kelestarian yang diterapkan dalam setiap proses,” katanya.

 

Program latihan itu dilaksanakan di tiga lokasi iaitu Pusat Pertanian Putra (PPP), Fakulti Pertanian, dan Sultan Idris Shah Forest Education Centre (SISFEC), melalui aktiviti seperti penyediaan tanah campuran, pengurusan sistem fertigasi, dan penggunaan sabut kelapa sebagai medium tanaman.

 

Peserta latihan, Amirah Afieqa, berkata pengalaman mengikuti PTM di UPM adalah unik dan berbeza daripada program seumpamanya.

 

“PTM UPM adalah lain daripada yang lain, lebih tertumpu kepada pertanian dan secara tidak langsung saya memperoleh ilmu baharu antaranya penggunaan sabut kelapa yang memberi cengkaman lebih baik pada akar tanaman yang boleh saya kongsikan dengan ibu bapa saya yang minat bercucuk tanam,” katanya.



 

Date of Input: 21/05/2025 | Updated: 21/05/2025 | aghniya

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYFWDAF~