KUSTA: PENYAKIT LAMA YANG MASIH MENGHANTUI | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » KUSTA: PENYAKIT LAMA YANG MASIH MENGHANTUI

KUSTA: PENYAKIT LAMA YANG MASIH MENGHANTUI

Article Summary
Kusta, atau lebih dikenali sebagai penyakit Hansen, bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah manusia. Ia telah wujud sejak lebih 600 tahun sebelum Masihi dan pernah menjadi penyakit yang sangat ditakuti kerana boleh menyebabkan kecacatan kekal dan, dalam kes yang lebih teruk, kematian. Walaupun ramai menganggap kusta sebagai penyakit lampau yang sudah lenyap, hakikatnya ia masih ada dan terus menjadi cabaran kesihatan awam.


Oleh: Dr. Siti Aisah Mokhtar & Dr. Azmiza Syawani Jasni

 

 

Kusta, atau lebih dikenali sebagai penyakit Hansen, bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah manusia. Ia telah wujud sejak lebih 600 tahun sebelum Masihi dan pernah menjadi penyakit yang sangat ditakuti kerana boleh menyebabkan kecacatan kekal dan, dalam kes yang lebih teruk, kematian. Walaupun ramai menganggap kusta sebagai penyakit lampau yang sudah lenyap, hakikatnya ia masih ada dan terus menjadi cabaran kesihatan awam.

 

Penularan dan Risiko Jangkitan

 

Penyakit ini berpunca daripada jangkitan bakteria Mycobacterium leprae, yang boleh berada dalam tubuh manusia untuk tempoh yang lama sebelum menunjukkan sebarang gejala. Bertentangan dengan kepercayaan umum, penyakit ini tidak mudah menular.

 

Kebanyakan individu mempunyai imuniti semula jadi terhadap bakteria ini dan tidak akan dijangkiti meskipun berhubung rapat dengan pesakit. Penyakit ini merebak kepada individu lain melalui titisan udara yang mengandungi bakteria apabila pesakit yang tidak dirawat batuk atau bersin. Namun, jangkitan hanya berlaku selepas pendedahan berulang dalam tempoh yang lama dan dalam keadaan rapat dengan pesakit.

 

Kusta tidak merebak melalui sentuhan biasa seperti berjabat tangan, duduk bersebelahan, berkongsi makanan, atau memeluk pesakit. Sebaik sahaja pesakit memulakan rawatan, mereka tidak lagi berupaya menyebarkan bakteria kepada orang lain. Selain itu, penyakit ini tidak boleh merebak melalui hubungan seksual atau daripada ibu kepada bayi dalam kandungan.

 

Penyakit ini lebih kerap didiagnosis dalam kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak. Hubungan rapat yang berterusan dengan pesakit memberi peluang kepada bakteria untuk berpindah kepada individu yang sihat, terutamanya mereka yang mempunyai sistem imun yang rendah. Selain itu, mereka yang menghidap penyakit kronik, mengalami malnutrisi, atau tinggal dalam persekitaran yang sesak dan tidak bersih juga lebih berisiko untuk dijangkiti.

 

Gejala dan Kesan Kusta

 

Gejala awal kusta sering kali tidak disedari. Pesakit mungkin mengalami tompok-tompok kulit yang pucat atau kemerahan, tetapi tanpa rasa gatal. Kawasan yang dijangkiti mungkin kehilangan deria sentuh, tidak berpeluh, atau mengalami keguguran bulu kening sekiranya melibatkan bahagian muka. Dalam kes yang lebih serius, saraf periferi menjadi tebal, menyebabkan kebas, kelemahan otot, dan akhirnya kecacatan yang kekal. Kusta bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan fizikal, tetapi juga memberi impak terhadap emosi dan kehidupan sosial pesakit, kerana stigma terhadap penyakit ini masih wujud dalam masyarakat.

 

Pada masa dahulu, pesakit kusta sering dipinggirkan dan diasingkan daripada komuniti. Ketika itu, tiada rawatan berkesan yang boleh menyembuhkan penyakit ini, menyebabkan pesakit ditempatkan di pusat khas bagi mengelakkan penularan. Di Malaysia, sebuah pusat rawatan khusus telah dibina di Sungai Buloh pada tahun 1926 untuk menempatkan pesakit kusta. Namun, perkembangan sains perubatan telah membawa perubahan besar dalam sejarah penyakit ini.

 

Rawatan dan Program Kawalan

 

Pada tahun 1940, penemuan ubat Dapsone menjadi titik permulaan kepada rawatan moden kusta. Kemudian, pada tahun 1969, kerajaan melancarkan Program Kawalan Kusta Negara, yang membolehkan pesakit mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran tempat tinggal mereka, tanpa perlu diasingkan. Kemajuan lebih besar dicapai pada tahun 1985 apabila rawatan Multiple Drug Therapy (MDT) diperkenalkan. Dengan kaedah ini, pesakit hanya perlu menjalani rawatan antara satu hingga tiga tahun sahaja untuk sembuh sepenuhnya. Ini adalah satu pencapaian penting yang mengubah nasib pesakit kusta, membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan normal dalam masyarakat.

 

Keberkesanan program kawalan ini dapat dilihat apabila pada tahun 1996, Malaysia berjaya mencapai sifar kes kusta yang dilaporkan. Namun, pemantauan tetap diteruskan kerana penyakit ini masih dikategorikan sebagai penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Walaupun kemajuan besar telah dicapai dalam membasmi penyakit ini, kusta masih belum sepenuhnya lenyap. Pada tahun 2024, sebanyak 292 kes telah dilaporkan, menunjukkan peningkatan sebanyak 14% berbanding 256 kes pada tahun 2023. Malah baru-baru ini, wabak kusta telah dikesan di Negeri Sembilan, dan beberapa kes turut dilaporkan di Selangor.

 

Tingkatkan Kesedaran dan Hapuskan Stigma

 

Peningkatan kes ini mengingatkan kita bahawa kusta masih wujud dan memerlukan perhatian berterusan. Kesedaran masyarakat adalah kunci dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit ini. Ramai yang tidak menyedari bahawa kusta boleh dirawat sepenuhnya jika dikesan awal.

 

Oleh itu, individu yang mengalami sebarang gejala yang berkaitan perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan yang terdekat. Dalam pada masa yang sama, usaha mengesan kes perlu dipertingkatkan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko.

 

Dalam menangani kusta, adalah penting untuk memastikan setiap pesakit mendapat rawatan sewajarnya tanpa stigma. Kita perlu melihat kusta sebagai satu penyakit yang boleh dirawat, bukan satu hukuman sosial.

 

Dengan rawatan yang berkesan dan pemantauan yang berterusan, kita dapat memastikan bahawa penyakit ini tidak lagi menjadi ancaman kepada kesihatan masyarakat.

Date of Input: 13/03/2025 | Updated: 13/03/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDNVAM~